Langkau ke kandungan utama

Adakah Yesus sekadar cerita yang diolah semula dari Mitologi Mithras?

Artikel ini diterjemah dari laman web Please Convince Me dan boleh dibaca di sini.

Adakah ini akan mengganggu anda?
Ramai ateis yang mendakwa Yesus tidak pernah wujud. Bagaimana jika saya mengatakan kepada anda bahawa pernah wujud sebuah agama kuno yang menggambarkan Tuhan seperti berikut:
Dilahirkan oleh seorang perawan pada 25 Disember, di dalam gua, dihadiri oleh pengembala-pengembala
Dilihat sebagai seorang guru dan tuan yang hebat dan sentiasa mengembara
Mempunyai 12 orang sahabat atau murid
Menjanjikan kehidupan kekal kepada pengikutnya
Melakukan mukjizat
Mengorbankan dirinya untuk keamanan dunia
Dikuburkan di dalam makam dan bangkit semula selepas 3 hari
Dirayakan setiap tahun pada hari kebangkitannya (yang kemudian dipanggil sebagai Easter)
Dipanggil sebagai "Gembala yang Baik"
Dikenali sebagai Domba dan Singa
Dianggap sebagai "Jalan, kebenaran dan hidup" dan "Logos", "Penebus", "Juruselamat", dan "Mesias"
Merayakan hari Ahad sebagai hari Sucinya (juga dipanggil sebagai hari Tuhan)
Merayakan Eukaris atau "Perjamuan Tuhan"
Adakah anda mengenali tokoh yang diperkatakan? Seperti seseorang yang anda tahu? Sudah tentu, kerana kita sedang memperkatakan tentang Mithras!! Apa, anda sangkakan kita sedang memperkatakan tentang Yesus? Ia kedengaran sangat sama dengan Yesus, bukan? Adakah ia akan menggoncang iman anda jika saya mengatakan Mithraism adalah agama yang popular pada era Rom, dan sebenarnya merupakan pesaing bagi Kristianiti untuk menarik hati dan minda pengikut masing-masing? Walaupun Mithraism sudah tidak ada lagi pada zaman ini, terdapat sebilangan ateis yang berkumpul dan mengatakan bahawa Kristianiti adalah peniru kepada sistem kepercayaan yang telah wujud sebelumnya. Argumen mereka adalah Kristianiti tidak benar, dan Yesus tidak pernah wujud. Dia hanyalah Tuhan yang ditiru daripada beberapa mitos yang sudah wujud sebelum itu!

Adakah Dia Benar-benar seperti Yesus?
Pembacaan pertama kali persamaan-persamaan ini adalah mengejutkan bagi ramai Kristian, gambaran ini telah menyebabkan mereka tersandung dan meragui kebenaran sejarah tentang Yesus Kristus. Maka adalah penting untuk kita menyelidiki kebenaran kepada dakwaan persamaan ini dan juga melihat apa yang dapat kita pelajari daripada mitologi yang SEBENAR tentang apa yang mendorong hati manusia untuk membayangkan bagaimanakan Tuhan itu. Tidak diragui bahawa terdapat mitos sebelum permulaan Kristianiti yang mempunyai penyelamat yang mati, namun, dengan menyelidiki tokoh-tokoh mitos ini dengan lebih teliti, kita akan melihat bahawa mereka hanyalah bayangan bagi Tuhan yang BENAR-BENAR telah datang ke dunia. Mitologi-mitologi ini sebenarnya MENYOKONG dakwaan-dakwaan tentang Kristus. Sebelum kita mula menyelidiki mitologi ini dengan teliti, adalah penting untuk diketahui bahawa sebahagian besar perkara yang telah kita baca tentang Mithras adalah PALSU, dan tidak mempunyai sebarang sokongan arkeologi. Kebanyakan dari apa yang kita baca tadi adalah usaha ateis untuk menjadikan Mitras serupa dengan Yesus sedapat yang mungkin. Oleh itu, mari kita pandang kebenarannya dan melihat apa yang dapat kita perolehi darinya.

Kebenaran sebenar tentang Mithras
Terdapat dua tradisi berbeza berkaitan dengan Mithra, satu berasal daripada kawasan India dan Iran, dan yang satu lagi berkembang lebih kemudian (pada era kerajaan Rom). Ramai pakar cuba mengaitkan kedua-dua tradisi ini sebagai satu tradisi yang sama, dan mengakibatkan perubahan dan salah tafsiran tentang elemen asas tradisi dan mitologi. Kebanyakan perkara yang diketahui tentang Mithras adalah dari gambar dan lukisan mural yang TIDAK MEMPUNYAI TULISAN PENERANGAN, maka kebanyakan dari hasil kajian sarjana tentang karakter ini adalah bersifat spekulasi sepenuhnya. Mari kita lihat dakwaan-dakwaan tadi dan mengasingkan kebenaran dari fiksyen, dan cuba memahami harapan tersembunyi yang ada pada mereka yang mencipta tuhan yang dipanggil Mithras:

1. Dakwaan: Mithras dilahirkan oleh seorang perawan pada 25 Disember, di dalam gua, dihadiri oleh pengembala-pengembala
Kebenaran: Mithras sebenarnya lahir dari sebiji batu, dan batu yang DITINGGALKAN itu membentuk gua. Dia TIDAK dilahirkan oleh perawan (melainkan anda menganggap batu gunung itu adalah perawan). Kelahirannya MEMANG dirayakan pada 25 Disember, namun Kristian yang pertama tahu itu bukanlah tarikh sebenar kelahiran Kristus, dan kedua-dua penyembah-penyembah Mithras dan Gereja Roman Katolik meminjam perayaan ini dari perayaan musim sejuk solstis yang sudah ada sebelum itu. Gembala MEMANG sebahagian daripada mitologi Mithras, menyaksikan kelahiran Mithras dari batu, namun apa yang menarik di sini adalah, gembala-gembala ini wujud di dalam kronologi kelahiran tersebut yang mana ketika itu dikatakan manusia belum lagi lahir di dunia ini. Ditambah dengan fakta bahawa versi terawal bahagian ini di dalam mitologi Mithras wujud seratus tahun SELEPAS kewujudan Perjanjian Baru, menunjukkan adalah lebih besar kemungkinannya lagenda Mithras yang meminjam dari Kristianiti dan bukan sebaliknya.
Cara pemikiran di sebalik Mitologi Mithras: Jelas di sini bahawa manusia membayangkan dan memikirkan tentang Tuhan, dan apabila kita berbuat demikian, adalah munasabah untuk kita membayangkan Tuhan itu sangat berkuasa dan akan muncul di dalam dunia kita dengan cara yang luar biasa.
2. Dakwaan: Mitrhas dilihat sebagai seorang guru dan tuan yang hebat dan sentiasa mengembara
Kebenaran: Tidak wujud di dalam sebarang tradisi tentang Mithras yang mengatakan dia adalah seorang guru, namun dia mungkin dilihat sebagai seorang tuan. Tapi, mengapa kita perlu menganggap bahawa SEBARANG tuhan adalah bukan guru agung atau tuan? Kebanyakan tuhan dan mitologi menggambarkan tuhan mereka seperti itu.
Cara pemikiran di sebalik Mitologi Mithras: Jika Tuhan itu wujud, adalah munasabah untuk melihatNya sebagai penuh hikmat pengetahuan dan berkuasa ke atas semua kehidupan.
3. Dakwaan: Mithras mempunyai 12 orang sahabat atau murid
Kebenaran: Tidak terdapat sebarang bukti tentang hal ini di dalam tradisi yang berasal dari Iran atau Rom. Kemungkinan idea bahawa Mithras mempunyai 12 orang murid adalah kerana terdapat sebuah mural yang menunjukkan Mithras di kelilingi oleh 12 tanda dan bentuk Zodiak (dua dari antaranya adalah bulan dan matahari), namun gambaran ini sendiri wujud SELEPAS Kristian, dan tidak dapat dikaitkan sebagi penyumbang kepada gambaran Kristianiti (namun besar kemungkinan ia yang telah meniru Kristianiti).
Cara pemikiran di sebalik Mitologi Mithras: Adalah munasabah untuk membayangkan, jika Tuhan telah masuk ke dalam dunia, Dia akan mengumpulkan pengikut-pengikut bagi diriNya untuk mengongsikan kebenaran dengan orang lain.
4. Dakwaan: Mithras menjanjikan kehidupan kekal kepada pengikutnya
Kebenaran: Walaupun terdapat bukti yang sedikit untuk hal ini, tidak mustahil Mithras menjanjikan kehidupan kekal, namun hal ini biasa didapati di dalam mana-mana mitologi.
Cara pemikiran di sebalik Mitologi mithras: Semua kita merasakan terdapat hal yang lebih dari sekadar kehidupan yang fana, dan jika Tuhan itu wujud, kita akan beranggapan Dia wujud diluar batas kehidupan kita. Kita juga akan menganggap, jika Dia sangat mengasihi kita, Dia akan mahu membawa kita bersama denganNya di dalam kehidupanNya yang kekal.
5. Dakwaan: Mithras melakukan mukjizat
Kebenaran: Sudah tentu, kerana tuhan mana yang tidak melakukan mukjizat, sama ada ia tuhan benar atau palsu?
Cara pemikiran di sebalik Mitologi Mithras: Adalah munasabah untuk menganggap, jika Tuhan wujud (Tuhan yang sebenar), Dia pasti akan memiliki kuasa untuk melakukan mukjizat dan mengawal kuasa alam semula jadi ini.
6. Dakwaan: Mithras mengorbankan dirinya untuk keamanan dunia
Kebenaran: Terdapat sedikit atau tiada bukti bahawa hal ini benar, walaupun terdapat kisah Mithras membunuh seekor lembu jantan sebagai hero untuk suatu peristiwa. Namun, hanya itu perkara paling hampir yang kita ada.
Cara pemikiran di sebalik Mitologi Mithras: Adalah munasabah untuk menganggap Tuhan mahu datang menyelamatkan anak-anakNya, terutamanya jika mereka menghadapi ancaman yang kekal selama-lamanya.
7. Dakwaan: Mithras dikuburkan di dalam makam dan bangkit semula selepas 3 hari
Kebenaran: Tidak wujud di dalam tradisi Mithras yang menunjukkan dia pernah mati, inikan pula dibangkitkan! Baiklah, Tertullian ada menulis tentang pengamal kepercayaan Mithras yang melakukan pemujaan kebangkitan, namun dia menulis tentang ini lama setelah Perjanjian Baru wujud. TIDAK mungkin Kristianiti telah meminjam tradisi Mithras, namun yang sebaliknya mungkin berlaku.
Cara pemikiran di sebalik Mitologi Mithras: Adalah munasabah untuk mengandaikan, jika Tuhan itu wujud, Dia sudah pasti cukup berkuasa untuk mengalahkan maut.
8. Dakwaan: Mithras Dipanggil sebagai "Gembala yang Baik" dan sebagai Domba dan Singa
Kebenaran: TIADA bukti yang menunjukkan Mithras pernah dipanggil sebagai "Gembala Yang Baik" atau dikaitkan sebagai domba. Namun begitu, memandangkan Mithras adalah dewa matahari, wujud perkaitan dengan Leo (dikenali sebagai Rumah Matahari di dalam astrologi Babilon). Maka, mungkin ada yang mengaitkannya dengan singa. Namun sekali lagi, semua ini sebenarnya adalah SELEPAS Perjanjian Baru, maka tidak mungkin dipinjam oleh Kristianiti.
Cara pemikiran disebalik Mitologi Mithras: Jika Tuhan dikaitkan di dalam fikiran kita dengan suatu simbol menggunakan binatang, kita akan menjangkakan Dia diwakili oleh binatang yang gagah, seperti Singa.
9. Dakwaan: Mithras dianggap sebagai "Jalan, kebenaran dan hidup" dan "Logos", "Penebus", "Juruselamat", dan "Mesias"
Kebenaran: Berdasarkan kepada penyelidikan dan rekod sejarah tentang kepercayaan Mithras, tiada satu pun dari istilah-istilah ini pernah diberikan kepada ketuhanan Mithras kecuali 'pengantara'. Namun, istilah ini sangat berbeza berbanding dengan penggunaannya di dalam Kristianiti. Mithras bukanlah pengantara di antara Tuhan dengan manusia tetapi di antara dewa-dewa jahat dan baik di dalam kepercayaan Zoroaster.
Cara pemikiran di sebalik Mitologi Mithras: Jika Tuhan itu wujud, kita akan menjangkakan bahawa Dia akan menyediakan cara kepada kita untuk mengenaliNya, mungkin dalam bentuk pengantara.
10. Dakwaan: Mithras merayakan hari Ahad sebagai hari Sucinya (juga dipanggil sebagai hari Tuhan)
Kebenaran: Tradisi merayakan hari Ahad hanya dilakukan oleh pengikut kepercayaan Mithras di Rom dan ia adalah tradisi SELEPAS permulaan Kristian. Sekali lagi, ia lebih berkemungkinan telah dipinjam dari Kristianiti dan bukan sebaliknya.
Cara pemikiran di sebalik Mitologi Mithras: Sebarang penyembahan yang benar untuk Tuhan patut melibatkan keinginan dari pihak penganutNya untuk memuliakan Tuhan secara tetap.
11. Dakwaan: Mithras Merayakan Eukaris atau "Perjamuan Tuhan"
Kebenaran: Pengikut kepercayaan Mithras TIDAK merayakan eukaris, namun mereka ada merayakan makan bersama, sama seperti kumpulan-kumpulan lain di dalam dunia Rom.
Cara pemikiran di sebalik Mitologi Mithras: Mereka yang percaya kepada Tuhan pasti mahu berkumpul bersama untuk merayakan iman mereka dan bersatu di dalam satu sistem kepercayaan yang sama.
Jadi, apa yang tinggal?
Dari penilaian ringkas tentang tradisi Mithras ini, kita dapat melihat bahawa dia dilahirkan dari batu gunung. Perayaan hari kelahirannya adalah diadaptasi dari perayaan Musim Sejuk Solsis, sama seperti gereja Roman Katholik telah lakukan ke atas kelahiran Kristus. Mithras bukanlah seorang guru seperti Yesus. Dia tidak mempunyai 12 orang murid seperti Yesus. Dia mungkin telah menawarkan kehidupan kekal kepada pengikutnya, namun ini adalah perkara biasa untuk semua mitologi tuhan yang lain. Dia dipercayai telah melakukan mukjizat, sama seperti tuhan-tuhan lain. Dia tidak mengorbankan dirinya untuk dunia seperti Yesus. Tidak ada bukti yang mengatakan Mithras pernah mati, dikuburkan atau dibangkitkan. Juga tidak terdapat sebarang bukti Mithras pernah dipanggil sebagai "Gembala yang Baik" atau dikaitkan dengan domba. Dia dikaitkan bukan secara rapat dengan singa iaitu sebagai tuhan matahari yang dikaitkan dengan Leo. Mithras tidak pernah dipanggil sebagai "Jalan, kebenaran dan hidup", "Logos", "Penebus", "Juruselamat", atau "Mesias". Dia dipanggil sebagai "pengantara" tetapi melalui cara yang sangat berbeza dengan Yesus. Pengikut kepercayaan Mithras ada melakukan perayaan pada hari Ahad beberapa tahun kemudian MENGIKUT perayaan "Hari Tuhan" yang dilakukan oleh Kristian, dan walaupun pengikut-pengikut kepercayaan Mithras ada berkumpul bersama, mereka tidak merayakan sebarang Eukaris. Maka, dengan melihat kisah silam ini, berapa banyak persamaan yang ada di antara Yesus dan Mithras?

Terjemahan artikel ini hanya sampai setakat ini, masih ada sambung seterusnya dan boleh dibaca di sini. Saya hanya mengambil bahagian yang menjelaskan dakwaan bahawa kononya 'Kristian meniru dari kepercayaan pagan kuno'.
Jika ada permintaan, saya akan menterjemahkan bahagian seterusnya pada masa akan datang.

Ulasan