Langkau ke kandungan utama

Menjawab: "JESUS tidak pernah disalibkan berdasarkan St. Mark"

Dakwaan ini diambil dari blog Irwan Idris. Artikel asal boleh dibaca di sini.

Penulis memberikan kata-kata pengenalan yang agak panjang lebar. Namun, kita akan terus melihat hujah yang diberikannya.

Penulis memulakan dengan memperkenalkan Alkitab yang digunakannya iaitu Red Letter Edition. Penulis kemudian menyatakan perkataan yang dicetak dengan dakwat hitam adalah daripada Markus (atau Mark) dan dakwat merah adalah daripada Yesus. Cara penulis menyatakan hal ini seolah-olah hanya perkataan berwarna merah yang asli sementara yang berwarna hitam adalah palsu apabila beliau menulis:
kenapa ajaran JESUS ditokok tambah dengan penulisan berwarna hitam yang pastinya BUKAN AJARAN JESUS?
Kemudian, penulis mempersoalkan identiti Markus dengan menulis:
Siapa St Mark, setakat yang saya membaca INJIL St Mark, dia tidak pernah disebut oleh JESUS sebagai salah seorang anak muridnya. Dan dalam catatannya, dia tidak pernah diiktiraf sebagai salah seorang pengikut atau anak murid JESUS. Jadi? Bagaimana dia boleh menjadi tukang catat kejadian ini?
dan di akhir artikel tersebut, penulis sekali lagi menekankan tentang identiti Markus:
Jadi? Siapa St MARK? Layakkah seseorang yang mencatatkan kejadian penyaliban yang tidak tahu dengan tepat tantang JESUS mencatakan kejadian tersebut? Keraguan diri penulis menambah kegusaran dihati untuk saya menerima BIBLE adalah asli.
 Melalui hujah-hujah tersebut, kita dapat membentuk ringkasan argumen penulis seperti berikut:
  1. Perkataan yang menggunakan dakwat hitam adalah daripada Markus sementara dakwat merah adalah daripada Yesus.
  2. Memandangkan Markus tidak diketahui identitinya malah tidak disebut langsung sebagai salah seorang murid Yesus, perkataan berwarna hitam adalah ditokok tambah dan bukan ajaran Yesus.
  3. Memandangkan Markus menulis berdasarkan andaian, maka penceritaannya tentang kisah penyaliban Yesus patut diragui.
  4. Berdasarkan ketiga-tiga hujah di atas, Yesus tidak disalibkan menurut Markus.
Jika anda sudah membaca jawapan untuk dakwaan penulis sebelum ini (iaitu "Jesus tidak pernah disalibkan berdasarkan St. Luke"), pastinya anda sudah dapat melihat serba sedikit masalah hujah yang diberikan penulis untuk topik ini.

Sekarang, kita lihat masalah hujah yang diberikan oleh penulis.
Pertama, sebenarnya, perkataan yang digunakan di dalam keseluruhan Injil Markus adalah ditulis oleh Markus sendiri, termasuk yang berwarna merah. Penggunaan warna untuk membezakan perkataan yang diungkapkan Yesus sebenarnya adalah inovasi baru. Manuskrip asal tidak membezakan perkataan-perkataan yang ada. Malah, tanda baca juga pada asalnya tidak wujud di dalam manuskrip asal Injil ini. Maka, hujah penulis yang mengandaikan hanya perkataan berwarna merah yang benar adalah tidak tepat kerana sebenarnya kesemua tulisan di dalam Injil Markus adalah tulisan Markus.
    Namun, saya tidak bermaksud Yesus tidak mengatakan perkataan di dalam warna merah tersebut, cuma, perlu diketahui, Markus ditulis dalam bahasa Greek, sedangkan Yesus bertutur dalam bahasa Aramaic. Maka, hujah penulis menjadi tidak relevan.

Kedua, identiti Markus yang kurang dikenali ini sebenarnya adalah bukti penting Injil Markus adalah asli. Mengapa? Kerana kebanyakan manuskrip Injil yang palsu menggunakan nama yang popular seperti Petrus, Yakobus, Maria, Barnabas dan nama-nama pengikut Yesus yang lain untuk menjadikan manuskrip tersebut kelihatan "boleh dipercayai". Ini terbukti apabila kebanyakan kitab Injil palsu menggunakan nama-nama individu yang lebih terkenal seperti Gospel of Judas, Secret Gospel of Mark, The Gospel of Barnabas, The Gospel of Peter, The Gospel of Thomas, The Gospel of Mary dan lain-lain kitab Injil palsu.
    Sebenarnya, tanpa disedari oleh penulis blog tersebut, beliau sebenarnya telah memberikan bukti penting kepada keaslian Injil Markus.

Ketiga, Markus sebenarnya tidak menulis berdasarkan andaian. Dan penulis tidak menyelidiki dengan lebih lanjut siapakah Markus yang sebenarnya.
Menurut Papias yang menulis sekitar 110-140 A.D.; Markus adalah jurubahasa Petrus, salah seorang murid Yesus.
Markus yang telah menjadi jurubahasa untuk Petrus, telah menulis dengan tepat perkataan yang diingatinya.
Papias juga menekankan ketelitian penulisan Markus
Maka Markus tidak melakukan kesilapan dalam menulis perkara seperti yang diingatinya. Satu hal yang diberi perhatian khusus olehnya, tidak meninggalkan sebarang perkara yang didengarnya dan tidak memasukkan sebarang perkara yang tidak benar ke dalam penulisannya.
* sumber terjemahan petikan penulisan Papias
Berdasarkan kenyataan daripada Papias ini, kita dapat mengetahui Markus bukan menulis berdasarkan andaian tetapi berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Petrus, salah seorang daripada 12 murid yang dipilih Yesus.

Keempat, kesimpulan yang diberikan oleh penulis bahawa Yesus tidak disalibkan sebenarnya juga tidak logik, sama seperti kesimpulan yang diberikannya terhadap dakwaan sebelum ini.

Kesimpulan
Penulis gagal membuktikan peristiwa penyaliban Yesus tidak terjadi berdasarkan identiti Markus dan juga Injil Markus.

Tambahan
Penulis juga telah melakukan kesilapan dalam artikel yang ditulisnya. Penulis menulis:
Kenapa ajaran JESUS tidak diaplikasikan oleh masyarakat Kristian didunia berbanding perkataan berwarna hitam?
Saya tidak tahu apakah "ajaran Yesus" yang menurut penulis tidak diaplikasikan oleh masyarakat Kristian di dunia. Memandangkan maksud penulis berkenaan dengan "ajaran Yesus" adalah perkataan berwarna merah, mari kita lihat beberapa contoh perkataan-perkataan berwarna merah tersebut.
Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, "Ambillah dan makanlah, ini tubuh-Ku."
Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya. Kemudian mereka semua minum dari cawan itu.
Yesus berkata, "Inilah darah-Ku yang dicurahkan untuk banyak orang, darah yang mengesahkan perjanjian Allah. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru di Dunia Baru Bapa-Ku." (Markus 14:22-25)
Kristian mengaplikasikannya dengan melakukan Perjamuan Kudus/Perjamuan Tuhan sebagai memperingati pengorbanan Yesus di kayu salib.
Yesus diam sahaja dan tidak mahu berkata sepatah pun. Sekali lagi Imam Agung bertanya kepada-Nya, "Kamukah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Maha Suci?"
Yesus menjawab, "Ya! Kamu semua akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang dikelilingi awan dari langit!" (Markus 14:61-62)
Kristian mengaplikasikan kenyataan Yesus dengan menyembahnya sebagai Anak Allah Yang Maha Suci.
Yesus berkata kepada mereka, "Pergilah ke seluruh dunia dan khabarkanlah Berita Baik daripada Allah kepada seluruh umat manusia. Orang yang percaya dan dibaptis akan selamat, tetapi orang yang tidak percaya akan dihukum. Kepada mereka yang percaya akan diberikan tanda-tanda ini: Mereka akan mengusir roh jahat demi nama-Ku; mereka akan berkata-kata dalam bahasa yang tidak diketahui. Jika mereka memegang ular atau meminum racun, mereka tidak akan mendapat celaka. Jika mereka meletakkan tangan pada orang sakit, orang sakit akan sembuh." (Markus 16:15-18)
Kristian mengaplikasikan perintah Yesus di atas dengan memberitakan Berita Baik (Injil) dan membaptis orang percaya.

Dan yang paling ironik, apabila Yesus sendiri meramalkan penyaliban dan kebangkitanNya.
Yesus dan murid-murid-Nya sedang dalam perjalanan ke Yerusalem dan Yesus berjalan di depan. Murid-murid merasa cemas dan juga orang-orang yang mengikuti Dia dari belakang merasa takut. Sekali lagi Yesus memanggil kedua belas murid-Nya dan Ia mulai mengatakan kepada mereka apa yang akan terjadi atas diri-Nya, kata-Nya: "Sekarang kita pergi ke Yerusalem dan Anak Manusia akan diserahkan kepada imam-imam kepala dan ahli-ahli Taurat, dan mereka akan menjatuhi Dia hukuman mati. Dan mereka akan menyerahkan Dia kepada bangsa-bangsa yang tidak mengenal Allah, dan Ia akan diolok-olokkan, diludahi, disesah dan dibunuh, dan sesudah tiga hari Ia akan bangkit." (Markus 10:32-34)
Maka jelas di sini, jika kita mengikut hujah penulis bahawa hanya perkataan berwarna merah yang benar sekalipun, ia tetap menunjukkan Yesus memang telah disalibkan.

Ulasan