Langkau ke kandungan utama

Siri Krismas: Adakah Kristian perlu merayakan Krismas?

Tulisan ini berdasarkan/terjemahan artikel ini.

Soalan: Adakah Kristian perlu merayakan Krismas?


Jawapan:
Perdebatan sama ada Kristian perlu atau tidak perlu merayakan Krismas telah berterusan berabad-abad lamanya. Terdapat ramai Kristian yang komited di kedua-dua belah pihak yang berbeza pendapat, mempertahankan posisi masing-masing dengan pelbagai sebab tentang sama ada Kristian perlu atau tidak perlu merayakan Krismas. Namun, apa kata Alkitab dalam hal ini? Adakah Alkitab memberikan arahan jelas sama ada Krismas adalah adalah perayaan yang perlu dirayakan oleh orang Kristian?

Pertama, mari kita lihat mengapa sesetengah orang Kristian tidak merayakan Krismas. Salah satu hujah terhadap Krismas adalah kerana tradisi yang menyelubungi Krismas mempunyai asal-usul dari kepercayaan pagan. Mencari maklumat yang boleh dipercayai tentang hal ini adalah sukar kerana asal-usul kebanyakkan tradisi ini terlalu kabur sehinggakan sumber-sumber tersebut sering bercanggah di antara satu sama lain. Loceng, lilin, daun holi, dan perhiasan natal memang ada disebut di dalam sejarah penyembahan pagan, namun, penggunaan benda-benda ini di dalam rumah seseorang tidak bererti dia kembali kepada kepercayaan pagan.

Walaupun terdapat asal-usul pagan di dalam tradisi-tradisi tertentu, masih terdapat banyak tradisi lain yang dikaitkan dengan maksud sebenar Krismas, iaitu kelahiran Juruselamat dunia di kota Betlehem. Loceng dibunyikan untuk mengkhabarkan berita gembira tersebut, lilin dinyalakan untuk mengingatkan kita bahawa Kristus adalah terang kepada dunia (Yoh 1:4-9), bintang diletakkan di atas pokok Krismas untuk memperingati Bintang Betlehem, dan acara bertukar-tukar hadiah dilakukan untuk mengingatkan kita pemberian orang-orang Majus kepada Yesus, dan pemberian terbesar Tuhan untuk manusia.

Satu lagi hujah yang digunakan terhadap Krismas, terutamanya pokok Krismas, adalah Alkitab melarang membawa pokok-pokok ke dalam rumah kita dan menghiasnya. Ayat yang sering dipetik untuk hal ini adalah Yeremia 10:1-16. Namun, ayat bahagian tersebut merujuk kepada pokok yang ditebang, kemudian dipahat menjadi patung berhala, lalu menghias patung berhala tersebut dengan perak dan emas dengan bertujuan untuk menyembah berhala tersebut (lihat juga Yesaya 44:9-18). Ayat di dalam kitab Yeremia tidak boleh digunakan di luar konteks asal untuk dijadikan hujah terhadap pokok Krismas.

Orang Kristian yang memilih untuk tidak merayakan Krismas juga menunjukkan kepada fakta bahawa Alkitab tidak memberikan kita tarikh kelahiran Kristus, yang mana adalah benar. 25 Disember besar kemungkinan jauh tersasar dari tarikh sebenar kelahiran Yesus, dan hujah tentang hal ini di kedua-dua pihak adalah sangat banyak. Ada yang mengaitkannya dengan keadaan iklim di Israel, kebiasaan para pengembala pada waktu musim sejuk, dan tarikh kerajaan Rom melakukan banci penduduk. Kesemua poin ini tidak terlepas daripada unsur andaian, yang mana membawa kita kembali kepada fakta bahawa Alkitab tidak menyatakan tarikh Yesus dilahirkan. Ada yang melihat hal ini sebagai bukti positif bahawa Tuhan tidak mahu kita merayakan hari kelahiran tersebut, sementara ada yang lain melihat ia adalah kebenaran secara tersirat memandangkan Alkitab tidak menyentuh tentang hal ini.

Ada orang Kristian yang mengatakan bahawa memandangkan dunia merayakan Krismaswalaupun pada zaman ini ia mulai dirujuk sebagai Hari Cutimaka orang Kristian perlu mengelak daripada merayakannya. Akan tetapi, ini merupakan hujah sama yang diberikan oleh agama palsu yang menolak keTuhanan Kristus, sama seperti Saksi Yehovah yang menafikan keTuhanan-Nya. Orang-orang Kristian yang merayakan Krismas selalunya melihat ia adalah peluang yang baik untuk memberitakan bahawa Kristus "adalah sebab kepada perayaan" kepada bangsa-bangsa dan kepada mereka yang terperangkap di dalam kepercayaan palsu.

Seperti yang telah kita lihat, tidak terdapat sebarang sebab Alkitabiah yang memberikan pengesahan untuk tidak merayakan Krismas. Dan pada masa yang sama, juga tidak terdapat sebarang arahan Alkitabiah untuk merayakannya. Maka, sama ada kita mahu merayakan atau tidak merayakan Krismas adalah pilihan peribadi. Walau apa pun pendirian seseorang Kristian itu tentang Krismas, pandangan mereka tidak seharusnya digunakan sebagai sebuah kayu pemukul untuk menghentam atau melecehkan mereka yang tidak sependapat, atau menjadikan pandangan mereka sebagai sebuah lambang kemegahan yang seterusnya menimbulkan kesombongan kerana merayakan atau tidak merayakannya. Begitu juga terhadap semua perkara lain, kita meminta pengetahuan daripada Dia yang memberi secara saksama kepada yang meminta (Yakobus 1:5), dan menerima antara satu sama lain dengan kasih dan sayang seorang Kristian, tanpa mengambil kira pandangan kita tentang Krismas.

Ulasan