Langkau ke kandungan utama

10 fakta asas tentang Perjanjian Baru yang perlu diketahui oleh setiap Kristian: #2: "Semua penulisan Apokripa ditulis pada abad kedua atau lebih lewat"

Post ini adalah terjemahan/berdasarkan siri post ini.
*Senarai penuh siri ini di sini.


Di dalam post sebelum ini, kita telah memperkatakan tentang fakta asas pertama tentang kanon Perjanjian Baru, iaitu penulisan-penulisan Perjanjian Baru adalah catatan Kristian terawal yang kita miliki. Kita juga telah menjelaskan dengan berhati-hati bahawa tarikh penulisan kitab-kitab ini tidak menjadikannya sebagai sebahagian daripada kanon, tetapi tarikh penulisan awal ini menunjukkan bahawa kitab-kitab ini ditulis pada waktu di mana saksi-saksi kepada kehidupan Yesus masih lagi hidup.

Di dalam post ini, kita akan melihat kepada isu penulisan-penulisan "apokripa" Perjanjian Baru. Ia adalah penulisan-penulisan yang tidak dimasukkan ke dalam Perjanjian Baru tetapi mempunyai genre yang sama (seperti kitab Injil, kisah para rasul, surat-menyurat, pengelihatan, dll). Dan penulisan-penulisan ini selalunya dikaitkan dengan individu-individu yang terkenal; contohnya, Injil menurut Petrus, Injil menurut Tomas, kisah rasul Yohanes.

Walaupun kita tidak dapat melihat dengan lebih terperinci tentang penulisan-penulisan apokripa yang pelbagai ini, setidak-tidaknya kita boleh memperhatikan satu fakta asas yang sering terlepas pandang: kesemua penulisan-penulisan apokripa ini ditulis pada abad kedua atau lebih lewat. Maka, post ini adalah kesinambungan daripada post sebelum ini. Bukan sahaja semua penulisan Perjanjian Baru ditulis pada abad pertama, tetapi semua penulisan apokripa (iaitu yang masih wujud) ditulis pada abad kedua atau lebih lewat. Dan banyak di antaranya ditulis pada abad ketiga atau keempat.

Apa yang menonjol tentang fakta ini adalah para sarjana yang kritikal juga bersetuju dengannya. Walaupun terdapat percanggahan pendapat tentang tarikh penulisan beberapa buah kitab Perjanjian Baru (cth: 2 Petrus, Surat-surat Pastoral), wujud persetujuan yang sebulat suara terhadap tarikh penulisan lewat kitab-kitab apokripa ini. Namun, sudah tentu terdapat cubaan oleh sebilangan kecil pihak untuk meletakkan beberapa buah penulisan apokripa di dalam lingkungan abad pertama     contohnya, Crossan memberikan hujah bahawa suatu "Injil salib" yang terdapat di dalam Injil menurut Petrus adalah dari abad pertama     namun cadangan-cadangan ini tidak begitu diterima secara meluas.

Melalui penelitian fakta yang ringkas ini, dakwaan-dakwaan yang disensasikan seperti kononnya kitab-kitab yang telah "hilang" ini mengandungi versi Kristianiti yang "sebenar" juga akan dapat dipersoalkan.

Sudah tentu, kita boleh memberikan argumen bahawa catatan-catatan yang ditulis lewat masih boleh mengandungi tradisi asli Kristian abad pertama. Lagipun, sesuatu penulisan itu tidak semestinya ditulis pada abad pertama untuk mengandungi maklumat dari abad pertama. Benar. Namun, kita masih memerlukan sebab yang kukuh untuk menerima penulisan-penulisan lewat ini berbanding penulisan-penulisan awal. Dan apabila kita memperkatakan tentang penulisan-penulisan apokripa, sebab-sebab yang kukuh ini agar sukar diperolehi.

Pertama, kita tahu kebanyakkan daripada penulisan apokripa ini adalah pemalsuan, di mana dibuat seolah-olah ditulis oleh seseorang yang sebenarnya bukanlah penulis sebenar. Fakta ini sahaja sudah cukup untuk meragui keboleh-percayaan isi kandungan penulisan-penulisan tersebut. Kedua, kebanyakkan penulisan apokripa ini mengandungi tokok-tambah dan unsur lagenda yang ketara. Contohnya, di dalam Injil menurut Petrus, Yesus keluar dari kubur dalam bentuk fizikal gergasi dan kepala-Nya sampai ke awan, dan sebatang salib yang boleh berkata-kata keluar menyusuli-Nya (!). Dan ketiga, kebanyakkan daripada penulisan-penulisan apokripa ini mengandungi unsur teologi Gnostik yang mana tidak wujud sehinggalah pada abad kedua (cth, Injil menurut Filipus). Maka, ia tidak mewakili Kristianiti asli abad pertama.

Untuk mengelakkan kekeliruan, secara prinsipnya, tidak mustahil untuk sesebuah penulisan apokripa itu dari abad pertama (cuma kita masih belum lagi menemui walaupun satu penulisan seperti itu). Ia juga tidak bererti penulisan-penulisan apokripa ini tidak akan (atau tidak ada) sebarang maklumat yang boleh dipercayai tentang Yesus. Kita tahu bahawa kadang-kala Kristian-kristian awal melihat kitab injil apokripa sebagai mengandungi beberapa maklumat yang benar (akan diperkatakan dengan lebih lanjut di dalam post akan datang). Namun, poin utamanya adalah berikut, beberapa buah penulisan apokripa yang mungkin boleh dipercayai tidak mengandungi versi Kristianiti yang berbeza dengan apa yang kita temui di dalam kitab-kitab Perjanjian Baru, dan (kitab-kitab apokripa tersebut) bukan dalam posisi di mana boleh menggantikan apa yang kita temui di dalam kitab-kitab Perjanjian Baru.

Yang pasti, penulisan-penulisan apokripa merupakan sumber yang menarik dan mengasyikan dalam menyelidiki Kristianiti awal. Namun, disebabkan tarikh penulisan yang lewat, kitab-kitab apokripa ini tidak memberikan versi Kristianiti yang meyakinkan berbanding yang diberikan oleh kitab-kitab Perjanjian Baru itu sendiri.

Ulasan