Langkau ke kandungan utama

Siri Good Friday & Easter: Argumen Terakhir

Post ini diterjemahkan/berdasarkan sebahagian daripada kandungan buku The Case for Christ (edisi 2 buku dalam 1) oleh Lee Strobel, muka surat 204-207.

Menggunakan sejarah kepada perubatan, kepada arkeologi, malah peraturan ketenteraan Roma, Metherell telah menutup semua kebocoran yang ada: Yesus tidak akan dapat turun dari salib dalam keadaan hidup. Namun, saya terus menekannya. "Adakah terdapat sebarang kemungkinan--sebarang kemungkinan--untuk Yesus terselamat daripada semua ini?"


   Metherell menggelengkan kepalanya dan menunjukkan jarinya ke arah saya sebagai penekanan. "Sama sekali tidak," katanya. "Ingat, Dia ketika itu sudah dalam keadaan kejutan hypovolemic akibat kehilangan darah yang banyak sebelum disalibkan. Dia tidak mungkin dapat berpura-pura mati kerana anda tidak dapat berpura-pura tidak bernafas dalam jangka masa yang lama. Lagipun, tusukan tombak ke jantung-Nya pasti menyelesaikan isu ini dengan segera. Dan askar-askar Roma tidak akan mengambil risiko dibunuh dengan melepaskan-Nya dalam keadaan hidup."
   "Jadi," saya berkata, "jika seseorang mencadangkan bahawa Yesus hanya pengsan di kayu salib..."
   "Saya akan katakan kepada mereka ia adalah mustahil. Ia adalah teori khayalan tanpa sebarang dasar fakta."

   Namun, saya masih belum bersedia melepaskan isu ini. Dengan risiko mungkin akan mengecewakan doktor tersebut, saya berkata, "Mari kita andaikan bahawa sesuatu yang mustahil telah terjadi dan Yesus telah terselamat setelah disalibkan. Katakan Dia berjaya melepaskan diri daripada lilitan kain linen, menggulingkan batu yang besar dari pintu kubur-Nya, dan berjaya melepasi askar-askar Roma yang sedang berkawal di sana. Dari segi perubatan, apakah keadaan-Nya setelah Dia berjaya menemui murid-murid-Nya?"
   Metherell kelihatan tidak berminat meneruskan andaian tersebut. "Sekali lagi," dia menekankan, dan menjadi sedikit teruja, "tidak ada sebarang cara untuk Dia terselamat dari hukuman salib.
   "Namun, jika Dia terselamat, bagaimana Dia dapat berjalan setelah paku telah menembusi kaki-Nya? Bagaimana Dia dapat muncul di tengah jalan menuju ke Emmaus dalam masa yang singkat dan kemudian meneruskan perjalanan yang jauh? Bagaimana Dia dapat menggunakan tangan-Nya setelah ia ditarik dan terkehel? Ingat, Dia juga mengalami luka yang parah di belakang-Nya serta tusukan tombak di tubuh-Nya."

   Kemudian dia berhenti sejenak. Sesuatu telah timbul di dalam fikirannya, dan sekarang dia sudah bersedia untuk memberikan poin penutup yang akan menidakkan sepenuhnya teori pengsan tersebut. Ia adalah argumen yang sehingga kini belum dapat disangkal sejak ia pertama kali diberikan oleh seorang ahli teologi Jerman, David Strauss pada tahun 1835.
   "Dengar," kata Metherell, "seorang peribadi yang berada dalam keadaan yang menyedihkan seperti itu tidak akan memberikan inspirasi kepada murid-muridnya untuk keluar dan mengisytiharkan bahawa dia adalah Tuhan yang menjadi sumber kehidupan dan telah menang ke atas kematian.
   "Anda nampak apa yang saya cuba katakan? Setelah melalui seksaan yang teruk, dengan semua trauma dan kehilangan darah yang banyak, dia akan kelihatan sangat menyedihkan sehingga murid-muridnya tidak akan mengangkat dia sebagai seorang yang telah menakluki maut; mereka akan berasa kasihan terhadapnya dan akan cuba merawatnya sehingga sembuh.
   "Jadi, adalah tidak masuk akal untuk menganggap bahawa jika Dia muncul di hadapan mereka dalam keadaan yang menyedihkan, murid-murid-Nya akan terdorong untuk memulakan suatu pergerakan di seluruh dunia yang berdasarkan kepada harapan bahawa pada suatu hari nanti, mereka juga akan memiliki tubuh yang dibangkitkan seperti tubuh-Nya. Hal ini tidak akan berlaku."

Persoalan untuk hati kita

Metherell telah menyatakan hujahnya dengan cara yang sangat meyakinkan, penuh mahir, dan tidak diragui lagi. Dia telah melakukannya dengan menumpukan sepenuhnya kepada persoalan "bagaimana": Bagaimana Yesus dihukum sehingga kematian-Nya adalah sesuatu yang pasti? Namun, setelah perbincangan kami hampir ke penghujungnya, saya merasakan ada sesuatu yang tidak lengkap. Saya telah melihat pengetahuannya, namun saya belum menyentuh tentang hatinya. Maka, sedang kami berdiri dan bersalaman, saya merasa terpanggil untuk bertanya tentang persoalan "mengapa".
   "Alex, sebelum saya beredar, saya mahu bertanya pendapat anda tentang suatu perkara--bukan pendapat perubatan anda, bukan penilaian saintifik anda, hanya sesuatu dari hati anda."
   Saya merasakan dia mula terbuka sedikit. "Baiklah," jawabnya, "saya akan cuba."
   "Yesus dengan sengaja masuk ke dalam rancangan seorang pengkhianat, Dia tidak mengelak dari ditangkap, Dia tidak mempertahankan diri-Nya ketika dibicarakan--sangat jelas bahawa Dia dengan sengaja menyerahkan diri-Nya ke dalam apa yang anda katakan sebagai penyeksaan yang memalukan dan mengerikan. Saya ingin mengetahui mengapa. Apakah yang dapat memotivasikan seseorang untuk menghadapi hukuman seperti ini?"
   Alexander Metherell--sebagai dirinya, bukan sebagai doktor--mencari kata-kata yang sesuai.
   "Jujur saya katakan, saya rasa pribadi biasa tidak akan melakukannya," jawabnya. "Namun Yesus tahu apa yang akan terjadi, dan Dia sanggup mengharunginya, kerana itulah satu-satunya cara untuk Dia menebus kita--dengan menjadi pengganti untuk kita dan membayar harga kematian yang sepatutnya kita terima kerana pemberontakan kita terhadap Tuhan. Itu adalah tujuan utama-Nya datang ke dunia ini."
   Walaupun telah berkata demikian, saya masih dapat merasakan minda Metherell yang rasional dan logikal serta teratur sedang cuba menjawab soalan saya seringkas dan sepadat yang mungkin.

   "Jadi, apabila anda menanyakan saya apakah motivasi-Nya," dia menyimpulkan, "nampaknya.. saya fikir jawapannya dapat disimpulkan dalam satu perkataan--dan perkataan itu adalah kasih."

Ketika saya sedang memandu untuk balik pada malam tersebut, jawapan inilah yang terus bermain di dalam fikiran saya.
   Secara keseluruhannya, lawatan saya ke California telah sangat membantu saya. Metherell dengan menyakinkan telah menunjukkan bahawa Yesus tidak mungkin telah terselamat dari apa yang dialami-Nya semasa disalibkan, sejenis kezaliman yang sangat dahsyat sehingga kerajaan Roma mengecualikan warganegaranya dari menerima hukuman tersebut, kecuali melibatkan kes-kes berat.
   Kesimpulan Metherell adalah konsisten dengan penemuan doktor-doktor lain yang juga telah menyelidiki hal ini dengan teliti. Salah seorang dari mereka adalah Dr. William D. Edwards, di dalam artikel tulisannya pada tahun 1986 melalui Journal of the American Medical Association telah menyimpulkan, "Sangat jelas, bukti sejarah dan bukti perubatan menunjukkan Yesus telah pun mati sebelum dia ditikam dengan tombak pada sisi tubuh-Nya...Dengan itu, tafsiran berdasarkan andaian bahawa Yesus tidak mati di kayu salib nampaknya adalah bertentangan pengetahuan perubatan moden."[1]

   Pihak yang mahu menidakkan kebangkitan Yesus dengan mendakwa bahawa Dia telah terselamat dari maut semasa dihukum di Golgota perlu memberikan teori yang lebih munasabah dan sepadan dengan fakta-fakta yang ada.
   Dan mereka juga perlu memikirkan persoalan yang perlu kita semua pertimbangkan: Apakah motivasi yang mendorong Yesus untuk dengan rela membiarkan diri-Nya dipermalukan dan diseksa sedemikian rupa?

Nota
[1] William D. Edwards et al., "On the Physical Death of Jesus Christ," Journal of the American Medical Association (21 Mac 1986), 1455-63.

Ulasan