Langkau ke kandungan utama

Siri Injil Barnabas: #4. Injil Barnabas dan Abad ke-14 Masihi

Siri ini berdasarkan/terjemahan artikel The Gospel of Barnabas tulisan Samuel Green.
*Senarai lengkap siri ini di sini.

Mungkinkah Injil Barnabas berasal dari abad ke-14 Masihi?

Terdapat bukti kukuh yang mengaitkan Injil Barnabas kepada abad ke-14 Masihi.


A. Tahun Yobel

Tahun Yobel adalah perayaan yang diperintahkan untuk dirayakan oleh Tuhan di dalam Taurat. Ia dirayakan sekali setiap 50 tahun:
"Kamu harus menguduskan tahun yang kelima puluh, dan memaklumkan kebebasan di negeri itu bagi segenap penduduknya. Itu harus menjadi tahun Yobel bagimu, dan kamu harus masing-masing pulang ke tanah miliknya dan kepada kaumnya." (Imamat 25:10, TB)
Pada tahun 1300 Masihi, Pope Boniface VIII telah memberikan pengisytiharan palsu bahawa Tahun Yobel perlu dirayakan oleh Kristian sekali setiap 100 tahun dan bukan 50 tahun. Namun, pope seterusnya iaitu Clement VI, telah menukarnya kembali kepada asal iaitu 50 tahun sekali, dan ia dirayakan pada tahun 1350.[1] Maka, di dalam sejarah gereja, selama 50 tahun (iaitu sebelum Clement VI memperbetulkannya) orang menyangka Tahun Yobel dirayakan setiap 100 tahun. Penulis kitab Injil Barnabas secara tanpa sedar telah menerima pengisytiharan palsu Pope Boniface VIII tersebut sebagai benar dan memasukkannya ke dalam kitab tulisannya. Di dalam Injil Barnabas, kata-kata ini dikatakan telah dikeluarkan oleh Yesus:
"Demikian dengan Tahun Yobel, yang kini datang selepas 100 tahun, akan dikurangkan oleh Mesias kepada sekali setiap tahun di semua tempat" (bab 82)[2]
Adakah terdapat bukti lain yang boleh mengaitkan penulisan buku ini kepada abad ke-14? Ada.

B. Syurga menurut Dante
Dante adalah seorang penyajak yang terkenal pada abad ke-14 dan abad-abad seterusnya. Antara karya Dante adalah sebuah buku sajak bertajuk, The Divine Comedy (Komedi Ilahi).[3] Di dalam buku ini dia menggambarkan kenaikan melalui lapisan langit dan sampai ke syurga. Dante menyatakan telah melalui sembilan lapisan langit dan syurga terletak pada lapisan kesepuluh.

Penulis kitab Injil Barnabas menggambarkan dengan cara yang sama seperti Dante, terdapat sembilan lapisan langit sebelum sampai ke syurga:
"Syurga sanga besar sehingga tidak ada manusia yang dapat mengukurnya. Sesungguhnya aku berkata kepadamu terdapat sembilan lapisan langit, di antaranya terdapat planet-planet, dan jarak antaranya adalah lima ratus tahun perjalanan bagi manusia...dan sesungguhnya aku berkata kepadamu bahawa syurga lebih besar berbanding seluruh bumi dan langit" (bab 178)[4]
Nampaknya penulis kitab Injil Barnabas ini mungkin telah mengambil idea tentang sembilan lapisan langit daripada Dante.

C. Bukti Manuskrip
Bukti manuskrip untuk kitab ini adalah dari abad ke-14. Salinan tertua kitab ini adalah ditulis menggunakan bahasa Itali dan Sepanyol, dan salinan-salinan ini berasal dari abad ke-15 masihi atau lebih lewat lagi.[5]

Nota
[1] Herbert Thurston, The Holy Year of Jubilee, London: Sands & Co., 1900, m/s 5.
[2] (I)nsomuch that the year of Jubilee, which now comes every 100 years, shall by the Messiah be reduced to every year in every place (chap. 82).
[3] Dante Alighieri, The Divine Comedy, section: Paradiso.
[4] Paradise is so great that no man can measure it. Verily I say unto thee that the heavens are nine, among which are set the planets, that are distant one from another five hundred years journey for a man ... and Verily I say unto thee that paradise is greater than all the earth and heavens together (chap. 178).
[5] J.E. Flectchure, "The Spanish Gospel of Barnabas", Novum Testamentum, vol. XVIII, 1976, m/s 314-320. Juga oleh, Iskandar Jadeed, The Gospel of Barnabas - A False Testimony, Switzerland: The Good Way, m/s 6, tarikh tidak diberikan.

Ulasan