Langkau ke kandungan utama

10 fakta asas tentang Perjanjian Baru yang perlu diketahui oleh setiap Kristian: #4: "Beberapa orang penulis kitab Perjanjian Baru memetik penulisan Perjanjian Baru yang lain sebagai Kitab Suci"

Post ini adalah terjemahan/berdasarkan siri post ini.
*Senarai penuh siri ini di sini.


Salah satu daripada isu kontroversi di dalam kajian kanon Perjanjian Baru adalah bilakah masanya kitab-kitab Perjanjian Baru ini dianggap sebagai Kitab Suci. Bilakah kitab-kitab ini mula digunakan sebagai panduan utama gereja? Sarjana yang kritikal akan membahaskan bahawa kitab-kitab ini tidak ditulis sebagai Kitab Suci malah tidak dianggap sebagai Kitab Suci sehinggalah pada akhir abad kedua.

Namun salah satu fakta asas yang perlu diketahui oleh orang-orang Kristian adalah beberapa penulis Perjanjian Baru memetik tulisan penulis Perjanjian Baru yang lain sebagai Kitab Suci. Ini menunjukkan bahawa konsep kumpulan kitab-kitab baru Alkitab bukanlah perkembangan lewat, tetapi kelihatannya telah pun wujud di peringkat terawal permulaan Kristianiti lagi.

Contoh paling ketara untuk fenomena ini adalah 2 Petrus 3:15-16 di mana Petrus merujuk surat-surat tulisan Paulus sebagai "Kitab Suci" setaraf dengan kitab-kitab di dalam Perjanjian Baru. Penting untuk ditekankan bahawa Petrus menyebut semua surat Paulus, menunjukkan bahawa dia sedar tentang kewujudan surat-surat tersebut. Dan, lebih penting lagi, dia menganggap para pembacanya sedar tentang kewujudan surat-surat tersebut. Tidak wujud sebarang petunjuk bahawa status kitab untuk surat-surat Paulus adalah idea baru. Petrus menyatakannya secara santai dan bersahaja.

Kesan kepada kenyataan Petrus ini tidak sepatutnya diabaikan. Ini menunjukkan bahawa surat-surat apostolik (dalam hal ini surat-surat Paulus) mempunyai status Kitab Suci sejak awal permulaan Kristianiti lagi. Jika demikian, adalah sulit untuk tidak menjangkakan bahawa Petrus tidak mahu surat-suratnya menerima status yang sama. Lagipun, beberapa ayat sebelum itu Petrus dengan jelas menyatakan bahawa pengajaran para rasul adalah setara dengan Perjanjian Lama itu sendiri (2 Petrus 3:2).

Satu lagi contoh untuk fenomena ini ditemui di dalam 1 Timotius 5:18 yang berbunyi: "Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, "Janganlah berangus mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian," dan juga, "Orang yang bekerja layak menerima upah."" Ungkapan pertama dipetik dari Ulangan 25:4 sementara ungkapan kedua pula sepadan dengan Lukas 10:7. Walaupun mungkin ada yang akan mencadangkan bahawa Paulus memetik tradisi lisan kata-kata Yesus, cadangan itu tidak sesuai kerana dia (Paulus) memulakan ayat tersebut dengan ungkapan "seperti yang tertulis di dalam Alkitab".

Walaupun terdapat kemungkinan Paulus memetik kata-kata daripada sebuah penulisan Injil yang tidak diketahui (yang mana secara kebetulan mempunyai ungkapan yang serupa dengan Lukas 10:7), mengapa kita perlu memilih kemungkinan sedemikian sedangkan wujud sumber yang diketahui untuk ungkapan tersebut? Kita tahu bahawa kitab Lukas digunakan sebagai Kitab Suci pada zaman gereja awal.

Sudah tentu, oleh kerana kedua-dua ayat tersebut kelihatannya memetik kitab-kitab lain di dalam Perjanjian Baru sebagai Kitab Suci, para sarjana telah memberikan hujah bahawa kitab-kitab ini adalah palsu, berkemungkinan ditulis lewat iaitu pada akhir abad pertama (sekitar tahun 100). Kita tidak dapat menyelami perdebatan akademik ini di sini, namun perlu diketahui bahawa perdebatan ini belum lagi selesai. Selain itu, sekalipun kita mengakui tarikh penulisan lewat ini (atas dasar hujah), ia masih meletakkan tarikh kewujudan kanon ini pada waktu yang sangat awal.

Jika penulis-penulis kitab Perjanjian Baru memetik tulisan penulis-penulis kitab Perjanjian Baru yang lain sebagai Kitab Suci, maka ia menunjukkan bahawa kanon bukanlah perkembangan lewat di dalam badan gereja. Sebaliknya ia adalah sesuatu yang awal dan lahir dari kepercayaan Kristian awal. Dan ia adalah fakta asas yang perlu diketahui oleh semua Kristian.

Ulasan