Langkau ke kandungan utama

10 fakta asas tentang Perjanjian Baru yang perlu diketahui oleh setiap Kristian: #5: "Keempat-empat kitab Injil telah pun diterima sepenuhnya sebelum penghujung abad kedua"

Post ini adalah berdasarkan siri post berikut.
*Senarai penuh siri ini di sini.


Apabila memperkatakan fakta asas tentang kanon Perjanjian Baru yang perlu diketahui oleh orang-orang Kristian, salah satu yang paling kritikal adalah kenyataan yang diberikan oleh Irenaeus, biskop di Lyons, sekitar tahun 180 Masihi: "Adalah mustahil untuk kitab Injil lebih atau kurang daripada jumlah yang ada sekarang. Kerana, seperti mana terdapat empat zon di dalam dunia yang kita diami dan empat mata angin... [dan] juga kerub, mempunyai empat wajah."[1]

Irenaeus bukan sahaja mengesahkan kanon keempat-empat kitab Injil, malah bersungguh-sungguh menyatakan hanya keempat kitab Injil ini yang diakui oleh gereja. Irenaeus sangat yakin kanon kitab Injil ini sudah sempurna sehingga dia memberikan hujah bahawa ia telah termaktub di dalam setiap struktur ciptaan [Tuhan] - seperti empat zon bumi, empat mata angin dll.


Dalam usaha untuk memperkecil-kecilkan kesan kenyataan Irenaeus ini, sebilangan sarjana telah mencadangkan bahawa hanya Irenaeus yang berpegang kepada pandangan tersebut. Dia digambarkan sebagai keseorangan, terasing, seorang pencipta yang cuba memasuki kawasan yang belum diterokai. Kita diberitahu bahawa idea tentang empat kitab Injil ini adalah ciptaan Irenaeus.

Namun, adakah pendekatan Irenaeus-sebagai-pencipta ini sepadan dengan fakta-fakta yang ada? Sebenarnya tidak. Terdapat beberapa hal yang menimbulkan keraguan ke atas dakwaan ini:

1. Penulisan Irenaeus sendiri. Apabila Irenaeus memperkatakan tentang empat buah kitab Injil di dalam penulisannya, dia tidak memberikan sebarang petunjuk bahawa dia sedang mempersembahkan sebuah idea baru, atau dia meminta pembacanya untuk mempertimbangkan sebuah konsep baru. Sebaliknya, dia menyatakan hal ini seperti para pembacanya sudah tahu dan telah membaca keempat-empat kitab Injil yang sama. Dia memperkatakannya secara santai dan tidak cuba mempertahankannya. Secara ringkas, Ireneaus tidak menulis seperti seseorang yang pertama kali membela status Kitab Suci ke atas kitab-kitab tersebut.

2. Mereka yang sezaman dengan Irenaeus. Pendapat yang mengatakan Irenaeus berseorangan dalam hal ini berhadapan dengan tentangan yang besar, iaitu, wujud penulis-penulis lain pada penghujung abad kedua yang juga mengakui keempat-empat kitab Injil tersebut. Contohnya The Muratorian fragment, Clement of Alexandria, dan Theophilus of Antioch. Nampaknya, bukan Irenaeus sahaja yang beranggapan bahawa gereja mempunyai empat kitab Injil.

Sebagai tambahan, kita perlu mempertimbangkan Tatian's Diatesseron - sebuah pengharmonian kepada keempat kitab Injil yang ditulis sekitar tahun 170 Masihi. Diatesseron ini bukan sahaja memberitahu kita bahawa keempat-empat kitab Injil ini diketahui dan digunakan, tetapi ia juga memberitahu kita bahawa kitab-kitab ini dilihat sebagai mempunyai autoriti sehingga ia diberikan pengharmonian. Lagipun, untuk apa seseorang itu bersusah payah mengharmonikan kitab-kitab yang tidak mempunyai autoriti? Jika kitab-kitab ini tidak mempunyai autoriti, maka adalah tidak menjadi masalah walaupun ia saling bercanggah.

3. Mereka yang sebelum Irenaeus. Walaupun bukti yang ada sebelum Irenaeus tidak begitu jelas, kita masih dapat melihat suatu komitmen terhadap keempat kitab Injil tersebut. Contohnya, Justin Martyr, menulis sekitar tahun 150 Masihi, merujuk kepada kitab Injil secara jamak[2] dan pada suatu ketika memberikan petunjuk kepada jumlah kitab Injil yang diperkatakannya dengan menyatakan "seperti yang digambarkan oleh rasul-rasul-Nya dan mereka yang mengikuti mereka."[3] Memandangkan kenyataan sedemikian memberikan petunjuk (bahawa sekurang-kurangnya) wujud dua kitab Injil yang ditulis oleh para rasul, dan (sekurang-kurangnya) dua lagi ditulis oleh sahabat para rasul tersebut, maka adalah munasabah untuk memahaminya sebagai merujuk kepada keempat kitab Injil yang kita miliki.[4]

Hal ini disahkan berdasarkan fakta di mana Justin Martyr memetik daripada ketiga-tiga Injil Sinoptik,[5] dan juga kelihatannya memetik secara terus ayat dari Injil Yohanes, "Yesus telah berkata, 'tidak seorang pun dapat menikmati Pemerintahan Allah kecuali dia dilahirkan semula.'[6] Fakta bahawa Justin adalah mentor kepada Tatian (yang telah menghasilkan pengharmonian kepada keempat-empat kitab Injil) memberikan satu lagi sebab untuk mengatakan dia memiliki keempat kitab Injil.

Akhirnya, terdapat banyak sebab untuk menolak pendapat yang mengatakan Irenaeus adalah pencipta kepada kanon keempat-empat kitab Injil ini. Bukan sahaja mereka yang hidup sezaman dengannya mempunyai pandangan yang sama, malah mereka yang hidup sebelumnya juga berkongsi pandangan yang sama. Maka, kita perlu mempertimbangkan kemungkinan bahawa Irenaeus sebenarnya berkata benar apabila dia berkata keempat kitab Injil tersebut adalah sesuatu yang telah "diturunkan" kepadanya.[7]

Nota
[1] Haer. 3.11.8.
[2] 1 Apol. 66.3.
[3] Dial. 103.
[4] G. Stanton, "The Fourfold Gospel," NTS 43 (1997): 317-346.
[5] Cth: Dial 100.1; 103.8; 106.3-4. Koester, Ancient Christian Gospels, 38, menyatakan bahawa petikan di dalam tulisan Justin "diambil daripada kitab-kitab Injil, selalunya dari Matius dan Lukas, dan suatu ketika dari Markus."
[6] 1 Apol. 61.4.
[7] Haer 3.1.1.

Ulasan