Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #1: Bible/Alkitab adalah kombinasi dua kitab?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, buku "Jesus adalah Muslim?" ini sarat dengan kecelaruan fakta. Malah, kecelaruan fakta ini diberikan ketika nombor muka surat buku ini belum pun bermula! Pada ruangan "Nota Penerbit" buku ini (iaitu di helaian kedua buku ini), kenyataan berikut telah diberikan:
"Bible adalah kitab suci bagi penganut agama Kristian. Ia kombinasi daripada dua kitab; Perjanjian Baru (New Testament) yang diturunkan kepada Jesus dan Perjanjian Lama (Old Testament) yang diturunkan kepada Moses."
Jika penerbit buku ini telah membuat sedikit penyelidikan tentang Alkitab, mengapa fakta yang tidak tepat ini diberikan? Tidakkah penerbit tahu bahawa Alkitab atau Bible adalah himpunan kitab? Malah, kata "Bible" itu sendiri adalah berasal daripada sebuah perkataan Greek iaitu βιβλία (disebut biblía) yang bermaksud "kitab-kitab".[1]


Penerbit juga melakukan kesilapan fakta yang besar apabila mengatakan Bible atau Alkitab Kristian adalah "kombinasi daripada dua kitab; Perjanjian Baru...dan Perjanjian Lama...". Sedangkan, Bible/Alkitab terdiri daripada himpunan 66 buah kitab, ditulis menggunakan 3 bahasa yang berbeza oleh lebih 40 orang penulis dalam tempoh kira-kira 1500 hingga 1600 tahun.[2] Maka, darimana penerbit mendapat "fakta" bahawa Bible/Alkitab hanyalah terdiri daripada dua buah kitab?

Kristian juga tidak percaya bahawa Perjanjian Baru adalah kitab yang diturunkan kepada Jesus. Malah, Kristianiti tidak mengajarkan bahawa Yesus menerima sebuah 'kitab'. Dan, Kristian (dan Yahudi) tidak mengajarkan bahawa Perjanjian Lama adalah sebuah kitab yang diturunkan kepada Musa.

"Perjanjian Baru" sebenarnya merujuk kepada bahagian himpunan kitab-kitab di dalam Bible/Alkitab yang bermula dari kitab Matius hingga kitab Wahyu. "Perjanjian Lama" pula merujuk kepada himpunan kitab-kitab di dalam Bible/Alkitab yang bermula dari kitab Kejadian hingga kitab Maleakhi.

Maklumat-maklumat sebenar tentang Bible/Alkitab ini bukanlah sesuatu yang rahsia atau tersembunyi. Ia boleh diperolehi dengan mudah sama ada melalui buku-buku atau pun melalui internet. Maka, kesilapan fakta yang diberikan oleh penerbit ini adalah sesuatu yang sangat menghairankan.

Kesilapan awal yang tidak sepatutnya berlaku ini benar-benar menjejaskan kredibiliti buku ini sebagai sumber yang sahih dan objektif.

Nota
[1] The International Standard Bible Encyclopedia Online, I. The Names. 1. Bible. Untuk membaca klik sini.
[2] CARM, What is the Bible? Untuk membaca klik sini.

Ulasan