Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #2: Yesus beragama Kristian?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Saya mulakan post ini dengan sebuah cerita.
Lelaki A yang berbaju merah sedang duduk di dalam sebuah restoran sambil menikmati secawan teh. Tiba-tiba, lelaki B datang dan berkata bahawa lelaki A ini ingin menyertai sebuah perhimpunan haram dan mesti ditangkap. Apabila ditanya bagaimana lelaki B tersebut tahu, dia berkata,
"Lelaki A ini sedang memakai baju kuning gelap! Kerana peserta perhimpunan haram tersebut akan memakai baju kuning gelap!"
Lelaki A segera menjawab, "Tapi, saya sedang memakai baju merah."
Lelaki B tetap berkeras, "Tidak, mata saya melihat anda sedang memakai baju kuning gelap!"
Lelaki A hanya menggeleng-gelengkan kepalanya dan berkata, "Apa kata anda tanya orang-orang yang ada di sini, adakah saya berbaju merah atau kuning gelap."
Lelaki B pun bertanya kepada orang ramai yang ada di dalam restoran tersebut, dan semua mereka mengatakan Lelaki A memang berbaju merah, bukan kuning gelap.

Bagaimana mungkin Lelaki B boleh tersilap warna? Ada dua kemungkinan:
1) Lelaki B buta warna di mana reseptor retina matanya tidak dapat mengesan warna merah dan menyangka Lelaki A berbaju kuning gelap, atau
2) Lelaki B sengaja menuduh Lelaki A dengan tujuan menganiayanya. Cuma, Lelaki B tersilap langkah kerana dia buta warna. Akibatnya, tuduhannya tersasar kerana kesilapannya sendiri.

Cerita ini berkaitan dengan poin yang diberikan oleh penulis buku ini. Penulis memberikan dakwaan berikut:
"Umat Kristian yang mengaku Jesus adalah Anak Allah percaya bahawa beliau beragama Kristian. Pendapat ini tidak dapat dibuktikan. Jesus tidak pernah mendakwa agama beliau adalah Kristian. Tidak ada kata-kata beliau berkenaan Kristian disebut dalam Bible"[1]

Seperti Lelaki B yang memberikan tuduhan yang tidak tepat tentang warna baju Lelaki A, penulis juga telah memberikan dakwaan yang tidak tepat tentang kepercayaan sebenar Kristian tentang 'agama' Yesus.

Sebenarnya, Kristianiti tidak mengajarkan Yesus beragama Kristian. Dan, ini adalah pengetahuan yang sangat asas! Maka, mengapa penulis menuduhkan "kepercayaan" yang tidak wujud ini kepada Kristian, dan kemudian bersusah payah menidakkan "kepercayaan" tersebut seolah-olah ia adalah kepercayaan sebenar Kristian? Seperti tindakan Lelaki B menuduh Lelaki A berbaju kuning gelap sedangkan Lelaki A berbaju merah.

Penulis kemudian mendakwa orang pertama yang mendakwa Yesus adalah Kristian adalah para pengikut Paul (atau Paulus).[2] Penulis juga menuduh Paul yang memperkenalkan dan mengembangkan agama Kristian 40 tahun selepas ketiadaan Yesus dengan cuba menggunakan ayat Acts 11:26.[3]

Dakwaan-dakwaan ini sebenarnya tidak berasas dan bercanggah dengan bukti yang ada.
1. Yang memulakan gelaran Kristian bukanlah pengikut-pengikut Paul tetapi penduduk-penduduk di Antiokhia. Yang menghairankan, fakta ini terdapat di dalam petikan ayat Alkitab yang diberikan sendiri oleh penulis (Acts 11:26). Namun, ia tidak disedari oleh penulis?
2. Istilah Kristian sebenarnya berasal daripada perkataan Greek, Χριστιανός, (disebut Kristianos) yang bermaksud "pengikut Kristus". Siapa pula Kristus? Kristus sebenarnya berasal dari perkataan Greek, Χριστός, (disebut Kristos) yang seerti dengan perkataan Ibrani, מָשִׁיחַ (disebut Mesiah) dan seerti dengan perkataan Arab, المسيح, iaitu Al-Masih. Maka, istilah "Kristian" sebenarnya merujuk kepada pengikut Jesus kerana Jesus juga digelar sebagai Kristus/Mesias/Al-Masih.
- Oleh itu, adalah tidak munasabah untuk penulis mendakwa pengikut Paul atau Paul sendiri yang mengatakan Jesus beragama Kristian kerana itu bererti Jesus adalah pengikut Kristus, sedangkan Kristus adalah merujuk kepada Jesus sendiri. Berdasarkan dakwaan penulis, adakah ini bererti Jesus pengikut diri-Nya sendiri?

3. Menurut sejarah, peristiwa penyaliban, kematian dan kebangkitan Jesus dianggarkan berlaku sekitar tahun 30-36M.[4] Paul pula dianggarkan meninggal dunia pada tahun 67M.[5] Penulis pula mendakwa Paul memperkenalkan agama Kristian 40 tahun selepas ketiadaan Jesus. Jika dikira jarak tahun ketiadaan Jesus dan kematian Paul, tempoh tersebut hanyalah 37 tahun. Ini bererti, genap 40 tahun selepas ketiadaan Jesus, Paul telah pun meninggal  dunia selama 3 tahun! Maka, bagaimana penulis boleh mendakwa bahawa Paul mula menyebarkan agama Kristian 40 tahun selepas ketiadaan Jesus?

Anda sendiri boleh melakukan pengiraan matematik mudah ini.
- "Ketiadaan" Jesus dianggarkan terjadi sekitar tahun 30M hingga 36M.
- Kematian Paul dianggarkan pada tahun 67M.
- Sekarang, kita ambil tahun kematian Paul (67M) dan tahun "ketiadaan" Jesus yang paling awal (30M).
- 67M  30M = 37 tahun
- Ini bererti, 37 tahun selepas "ketiadaan" Jesus, Paul telah pun meninggal dunia.
- Maka, 40 tahun selepas "ketiadaan" Jesus, 40  37 = 3, Paul telah pun meninggal dunia selama 3 tahun!

Sangat jelas penulis bukan sahaja memberikan hujah yang tidak disokong dengan bukti, malah, hujah penulis saling bercanggah dengan dakwaan yang diberikannya sendiri.


Nota
[1] Jesus adalah Muslim, bahagian Pendahuluan, m/s x.
[2] ibid.
[3] ibid.
[4] Penulis buku ini juga memberikan anggaran yang sama pada m/s vii.
[5] Paul the Apostle, wikipedia. Klik sini.

Ulasan