Langkau ke kandungan utama

Bagaimana kita boleh menguji nubuat?

Sebagai seorang Kristian, mungkin anda pernah mendengar seorang peribadi yang telah bernubuat bahawa kononnya dunia akan kiamat pada suatu tarikh. Namun, apabila tarikh tersebut tiba, tiada apa-apa yang terjadi.

Atau mungkin anda pernah mendengar seseorang bernubuat bahawa kononnya akan terjadi pertumpahan darah  akibat politik dan agama di sesebuah negara. Namun, dia memberikan suatu jaminan untuk dirinya (agar tidak dituduh berbohong jika nubuat tersebut tidak terjadi) dengan berkata ia tidak akan terjadi jika kita cukup berdoa. Maka, apabila nubuat tersebut tidak terjadi, kita beranggapan kita telah cukup berdoa.

Apa reaksi kita setelah mendengarnya? Terus percaya atau terus menolaknya mentah-mentah?


Jika karunia bernubuat ini diberikan kepada gereja hari ini, kita sebagai orang percaya perlu mempunyai suatu garis panduan untuk mengenalpasti sama ada ia adalah nubuat daripada Tuhan atau pun bukan.

*Semua ayat Alkitab yang digunakan adalah Today's Malay Version (TMV) melainkan dinyatakan sebaliknya.

Tidak bercanggah dengan Firman Tuhan

Perkara pertama yang perlu dilakukan terhadap nubuat adalah mengujinya berdasarkan Firman Tuhan. Adakah nubuat yang diberikan sesuai dengan Alkitab? Rasul Yohanes menggalakkan kita agar menguji mereka yang mendakwa diri mereka sebagai nabi:
"Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Janganlah percaya kepada semua orang yang mengaku bahawa mereka mempunyai Roh Allah, tetapi ujilah mereka untuk mengetahui sama ada roh yang ada pada mereka itu berasal daripada Allah atau tidak. Hendaklah kamu berbuat demikian kerana banyak nabi palsu telah pergi ke serata tempat." (1 Yoh 4:1)
Sebarang pengajaran yang bercanggah dengan apa yang telah dinyatakan Tuhan menunjukkan pengajaran tersebut berasal dari sumber lain selain Tuhan. Maka, sebarang nubuat mestilah sepadan dengan Firman Tuhan. Alkitab menyatakan:
"Aku hairan terhadap tingkah laku kamu. Allah sudah memanggil kamu kerana rahmat Kristus. Tetapi dalam masa yang demikian singkat, kamu telah meninggalkan Dia lalu mengikut berita baik lain yang bukan daripada Allah. Sebenarnya tidak ada berita baik lain. Tetapi aku berkata demikian kerana ada beberapa orang yang mengelirukan kamu dan cuba memutarbalikkan Berita Baik tentang Kristus. Jika kami, ataupun malaikat dari syurga, mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kami khabarkan kepada kamu, biarlah orang itu dihukum oleh Allah!" (Galatia 1:6-8)

Bersaksi tentang Yesus

Ujian kedua adalah sama dengan yang pertama. Alkitab dengan jelas menyatakan nubuat akan memuliakan Yesus:
"Aku bersujud hendak menyembah dia, tetapi dia berkata kepadaku, "Jangan! Jangan sembah aku, sembahlah Allah! Aku pun hamba seperti engkau dan semua saudaramu, dan seperti semua orang yang berpegang teguh pada ajaran benar yang dinyatakan oleh Yesus." Ajaran benar yang dinyatakan Yesus itulah yang mengilhami nabi-nabi." (Wahyu 19:10)
"Inilah caranya kamu boleh mengetahui sama ada roh itu Roh Allah atau tidak: Sesiapa mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia, orang itu mempunyai Roh yang datang daripada Allah. Tetapi sesiapa menafikan hal ini tentang Yesus, orang itu tidak mempunyai Roh Allah. Orang itu mempunyai roh daripada Musuh Kristus. Kamu sudah mendengar bahawa roh itu akan datang, dan sekarang roh itu sudah di dunia ini." (1 Yoh 4:2-3)
Nubuat sepatutnya mengagungkan Yesus Kristus dan hanya Dia sahaja. Sebagai tambahan, jika yang memberikan nubuat menafikan Yesus sebagai sepenuhnya ilahi dan sepenuhnya manusia, maka dia adalah seorang nabi palsu. Maka, pandangan seseorang nabi atau 'yang menerima nubuat' terhadap Yesus adalah satu cara pengujian untuk membuat penilaian.

Konsistensi Moral

Terdapat juga ujian moral yang perlu dilepasi oleh seseorang nabi. Adakah individu yang memberikan nubuat tersebut menunjukkan sifat moral yang konsisten dengan peranannya? Jesus telah memberikan amaran tentang nabi seperti ini.
"Waspadalah terhadap nabi palsu. Mereka datang kepada kamu dengan rupa domba, tetapi sebenarnya mereka seperti serigala buas. Kamu akan mengenal mereka melalui hasil perbuatan mereka. Belukar berduri tidak menghasilkan buah anggur, dan semak berduri tidak menghasilkan buah ara." (Matius 7:15-16)
Hasil yang dapat dilihat adalah hasil daripada doktrin dan perbuatan di dalam kehidupan mereka. Kedua-dua aspek ini perlu sesuai dengan Firman Tuhan. Adakah seseorang nabi itu menjalani hidup yang memuliakan Tuhan? Adakah dia tunduk kepada kekuasaan Firman Tuhan? Mereka yang tidak menepati standard-standard Tuhan tidak patut dianggap sebagai nabi.

Namun, jika terdapat seseorang yang memenuhi kriteria ini, adakah kita patut menganggap mesej yang diberikannya adalah daripada suatu wahyu yang diterimanya? Tidak semestinya. Selain nubuatan palsu, terdapat mesej tertentu yang kelihatan baik, tetapi bukan datang daripada Tuhan. Seseorang boleh memenuhi kriteria-kriteria ini dan memberikan suatu mesej dengan mempercayai ia daripada Tuhan. Akan tetapi, sumber mesej tersebut boleh timbul dari personaliti individu (yang mengaku sebagai nabi) itu sendiri.

Para Pemimpin perlu Menguji

Yang akan menguji sama ada nubuat tersebut daripada Tuhan atau bukan adalah para pemimpin di tempat (atau perkumpulan) nubuat tersebut dinyatakan. Nubuat-nubuat tersebut tidak sepatutnya disebarkan tanpa penilaian daripada para pemimpin. Dasar kepada pengujian mereka adalah hikmat pengetahuan yang daripada Tuhan (Dan hikmat pengetahuan ini mesti sesuai dengan Firman-Nya.)
Alkitab mengatakan nubuat-nubuat perlu dibenarkan di dalam gereja. "Janganlah hina perkhabaran-perkhabaran yang diberikan oleh Roh Allah" (1 Tesalonika 5:20).
Nubuat tidak sepatutnya dipandang rendah tetapi ia harus diuji. "Pertimbangkan semuanya; ikutlah apa yang baik" (1 Tesalonika 5:21).
Maka, kita dapat membuat kesimpulan berikut tentang nubuat:

1. Seorang nabi tidak sepatutnya bercanggah dengan apa yang telah dinyatakan oleh Tuhan sebelum itu.

2. Nubuat sepatutnya memuliakan Yesus Kristus.

3. Kehidupan seorang nabi sepatutnya konsisten dengan nubuat yang diberikannya.

4. Hanya kerana seseorang memenuhi kriteria-kriteria di atas tidak bererti mesejnya adalah daripada Tuhan. Para pemimpin di dalam perkumpulan tersebut yang sepatutnya melakukan pemastian.

5. Nubuat-nubuat perlu diuji, dan jika ia benar, ia tidak sepatutnya ditolak.


Berdasarkan/terjemahan dari artikel berikut: How can we test prophecies?

Ulasan