Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #11: 25 Disember?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Sekali lagi, penulis mengulang kesilapan yang telah dilakukan olehnya di awal buku ini, iaitu menuduhkan suatu kepercayaan yang tidak dipercayai oleh Kristian, dan kemudian menidakkan kepercayaan yang dituduh tersebut seolah-olah ia adalah kepercayaan Kristian.

Saya percaya mana-mana orang Kristian yang tahu kepercayaan sebenar Kristian akan menggeleng-gelengkan kepala membaca tuduhan penulis yang berikut:
"Gospel of Luke menunjukkan Jesus dilahirkan pada musim bunga. Beliau tidak dilahirkan pada musim sejuk ataupun pada 25 Disember." (m/s 9)
Penulis berusaha membuktikan bahawa Jesus tidak dilahirkan pada 25 Disember seolah-olah tarikh tersebut adalah tarikh sebenar kelahiran Jesus. Tuduhan penulis ini jelas menunjukkan kegagalannya dalam memahami kepercayaan sebenar Kristian tentang kelahiran Jesus.

Perlu ditekankan, Kristian tahu 25 Disember bukan tarikh kelahiran sebenar Jesus. Kristian tahu tarikh 25 Disember hanyalah anggaran dan teori kerana hakikatnya, tarikh kelahiran Jesus tidak dinyatakan di dalam Bible/Alkitab. Dan yang paling utama, bukan tarikh yang diutamakan semasa merayakan Krismas, tetapi kelahiran, kematian, dan kebangkitan Jesus untuk menebus kita dari maut/dosa. Jika tarikh tersebut penting, sudah tentu ia akan dicatatkan di dalam Bible/Alkitab.

Maka, seluruh hujah penulis yang cuba menidakkan tarikh 25 Disember sebagai tarikh kelahiran Jesus menjadi tidak relevan kerana ia bukanlah dasar utama kepercayaan Kristian yang sebenar. Sama ada Jesus dilahirkan pada 25 Disember atau tidak, itu tidak akan membuatkan Kristianiti menjadi palsu.

Sekurang-kurangnya, melalui maklumat-maklumat yang terdapat di dalam keempat kitab Injil, kita dapat menganggarkan tarikh kelahiran Jesus. Adakah hal yang sama dapat dilakukan menggunakan Al-Quran?
________________________________________________

Tambahan
Pada muka surat 8, penulis memberikan kenyataan berikut:
"Gospel of Luke 1:2-6 menyebut, Jesus dilahirkan di kota Nazaret, Galilea (Luke 1:2-6)."
Berikut saya berikan ayat pada Luke 1:2-6 tersebut (saya menggunakan terjemahan TMV):
"Mereka menulis sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kami oleh mereka yang menyaksikan peristiwa itu dari permulaan dan kemudian mengisytihar berita itu. Tetapi sekarang, Tuan Teofilus yang terhormat, saya sendiri telah menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya, maka ada baiknya saya juga menulis satu laporan yang teratur untuk tuan. Saya berbuat demikian supaya tuan dapat tahu dengan selengkapnya bahawa apa yang telah diajarkan kepada tuan memang benar. Ketika Herodes menjadi raja negeri Yudea, ada seorang imam bernama Zakharia. Dia termasuk golongan imam Abia. Isterinya bernama Elisabet dan dia juga keturunan imam. Kehidupan suami isteri itu menyenangkan hati Allah. Mereka mentaati semua hukum dan perintah Tuhan."
Adakah Luke 1:2-6 menyebut Jesus dilahirkan di kota Nazaret, Galilea? Tidak.

Ulasan