Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #9: Injil Apokripa?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Penulis juga memperkatakan tentang "rekod-rekod Bible yang lain iaitu Gospel-gospel Apocrypha (yang tersembunyi) yang tidak sah ataupun tidak diakui oleh gereja" (m/s 6). Penulis cuba menggambarkan bahawa "gospel-gospel apocrypha" ini sengaja disembunyikan atau ditolak oleh gereja. Ini jelas apabila penulis mencadangkan bahawa "dengan mendalami gospel-gospel ini, kita mempunyai rujukan lain di luar gereja yang mengetahui peribadi Jesus yang lain dalam tulisan selain daripada empat Gospel Kanonik yang dikenali selama ini". Melalui kenyataan tersebut, penulis cuba memberikan gambaran bahawa penulis-penulis *Gospel Apocrypha ini mengenal atau pernah hidup bersama-sama dengan Jesus.
(*Istilah yang betul sebenarnya adalah 'Apocryphal Gospel', bukan 'Gospel Apocrypha'. Namun, saya akan mengekalkan istilah 'Gospel Apocrypha' kerana itu yang digunakan oleh penulis di dalam bukunya)

Adakah gambaran tentang Gospel Apocrypha yang cuba ditonjolkan oleh penulis ini benar?

Untuk menjawab soalan ini, saya akan menggunakan senarai gospel-gospel Apocrypha yang diberikan oleh penulis pada muka surat 6 dan 7. Penulis memberikan 22 buah gospel Apocrypha. Kita akan melihat sama ada gospel-gospel Apocrypha ini seperti yang didakwakan oleh penulis.

1. Gospel of Andrew
- Andrew (diterjemahkan sebagai Andreas) adalah salah seorang murid Jesus. (Matius 10:2)
- Sebenarnya, Gospel of Andrew dan Act of Andrew adalah sama. Maklumat ini bukanlah sesuatu yang tersembunyi dan boleh diketahui dengan mudah melalui buku-buku ilmiah yang memperkatakan tentang manuskrip apokripa atau melalui carian internet.
- Namun, penulis mengasingkan Gospel of Andrew dan Act of Andrew seolah kedua-dua manuskrip apokripa ini adalah berbeza (penulis meletakkan Act of Andrew pada tempat ke-15 di dalam senarai yang diberikannya). Suatu tindakan yang menimbulkan persoalan, kerana jika penulis telah membuat penyelidikan dalam hal ini, mustahil beliau boleh melakukan kesilapan yang sangat asas ini.
- Selain itu, isi kandungan manuskrip Apokripa ini tidak memberikan sebarang perincian tentang biografi Jesus. Sebaliknya, manuskrip Apokripa ini lebih memperkatakan tentang pengalaman Andrew! (Lebih ironik, Jesus disembah sebagai Tuhan di dalam manuskrip ini! Jauh bertentangan dengan kepercayaan penulis!) Maka, adalah sesuatu yang sangat menghairankan apabila penulis memberikan Gospel of Andrew/Act of Andrew sebagai sumber rujukan lain untuk mengetahui peribadi Jesus.
- Manuskrip Gospel of Andrew/Act of Andrew ini juga ditulis sekitar pertengahan abad ke-2 hingga pertengahan abad ke-3. Ini bererti manuskrip ini bukan ditulis oleh Andrew kerana Andrew hidup pada abad pertama. Maka, manuskrip ini sebenarnya adalah palsu.
- Anda boleh membaca sendiri manuskrip ini di sini.

2. Gospel of Peter
- Peter (atau pun Petrus) adalah salah seorang murid Jesus (Matius 10:2)
- Sama seperti Gospel of Andrew/Act of Andrew, manuskrip Apokripa ini juga tidak menceritakan secara terperinci biografi tentang Jesus. Malah, manuskrip ini sangat pendek kerana sebahagian besar manuskrip ini telah musnah.
- Selain itu, manuskrip Apokripa ini juga menyatakan bahawa Jesus mati disalibkan dan bangkit dari kematian! (sesuatu yang sangat bercanggah dengan kepercayaan penulis). Cuma, terdapat perincian yang bersifat mitos ditambahkan ke dalam penceritaannya, seperti kayu salib yang berkata-kata, serta tubuh Jesus berubah menjadi tinggi hingga melebihi langit.
- Manuskrip ini juga ditulis pada pertengahan abad ke-2 dan dinyatakan sebagai bidaah oleh tokoh-tokoh Kristian awal seperti Eusebius. Ini menunjukkan ia bukan ditulis oleh Peter kerana dia hidup dan meninggal pada abad pertama.
- Anda boleh membaca sendiri manuskrip ini di sini.

3. Gospel of Barnabas
- Barnabas adalah salah seorang sahabat Paul (juga dikenali sebagai Saulus atau Paulus) (Kis 4:36; 9:26-27).
- Namun, Gospel of Barnabas ini mengatakan Barnabas adalah salah seorang murid Jesus! Salah satu kesilapan fakta yang terdapat di dalam gospel ini.
- Saya telah menulis beberapa post tentang Gospel of Barnabas di dalam blog ini di sini dan sini.
- Di antara semua senarai Gospel Apocrypha yang diberikan oleh penulis, ini merupakan manuskrip yang paling lewat ditulis iaitu pada *abad ke-14, iaitu 1300 tahun selepas kematian Barnabas! Sangat jelas Gospel Apocrypha ini adalah palsu (sama seperti seluruh senarai yang diberikan oleh penulis).
- Anda boleh membaca manuskrip ini di sini.
(* Saya memberikan tarikh terawal yang dianggarkan oleh sebilangan penyelidik (minoriti) kerana secara umumnya (majoriti) tarikh yang dipersetujui bersama adalah penghujung abad ke-16.)

4. Gospel of Matthias
- Matthias adalah individu yang dipilih untuk menggantikan Judas. (Kis 1:23-26)
- Sebenarnya, tidak ada manuskrip Gospel of Matthias yang masih wujud hari ini. Sumber yang ada hanyalah daripada penulisan tokoh-tokoh Kristian awal seperti Origen, Eusebius, Ambrose, dan Jerome yang menyebut tentang wujudnya sebuah kitab Injil bernama gospel of Matthias ini di dalam penulisan mereka.
- Maka, tindakan penulis menyenaraikan manuskrip apokripa ini seolah-olah ia masih wujud adalah sangat menghairankan. Sama ada penulis tidak tahu tentang hal ini ataupun beliau dengan sengaja memasukkannya walaupun gospel ini tidak lagi wujud.
Gospel of Matthias ini juga dikaitkan dengan Tradition of Matthias dan boleh di baca di sini.

5. Apocrypha of John
- John (Yohanes) adalah salah seorang daripada murid Jesus. (Matius 10:2)
- Nama yang betul sebenarnya adalah Apocryphon of John. Juga dikenali sebagai The Secret Book of John.
- Manuskrip ini juga sebenarnya tidak termasuk sebagai gospel kerana ia bukan memperkatakan tentang biografi Jesus. Sebaliknya, manuskrip ini memperkatakan tentang pengajaran-pengajaran Jesus yang telah diterima John, secara rahsia, setelah Jesus kembali ke syurga.
- Manuskrip ini juga ditulis pada pertengahan abad ke-2. Lama setelah John yang sebenar meninggal dunia, iaitu pada abad pertama.
- Anda boleh membaca sendiri manuskrip ini di sini.

6. Protevangel of James
- James (Yakobus) di sini merujuk kepada saudara (adik-beradik) Jesus. (Matius 13:55)
- Sekali lagi, penulis memberikan nama yang salah untuk manuskrip apokripa ini. Nama sebenarnya adalah Protoevangelium of James, bukan Protevangle of James.
- Bukan itu sahaja, penulis juga menyenaraikan satu lagi manuskrip apokripa, Gospel of James the Less (sepatutnya Gospel of James the Lesser) sedangkan ia adalah manuskrip apokripa yang sama dengan Protoevangelium of James.
- Kesilapan yang dilakukan dua kali oleh penulis ini jelas menunjukkan beliau tidak melakukan penyelidikan yang teliti.
- Manuskrip apokripa ini juga ditulis sekitar pertengahan abad ke-2. Manuskrip ini juga lebih menumpukan penceritaan terhadap Maria, ibu Jesus. Cerita tentang Jesus pula hanya diperkatakan di hujung manuskrip ini.
- Anda boleh membaca sendiri manuskrip ini di sini.

7. Gospel of James the Less
- Lihat 'Protevangel of James'.

8. Gospel of Thaddaeus
- Thaddaeus (Tadeus) adalah salah seorang daripada murid Jesus. (Matius 10:3)
- Sekali lagi, penulis memberikan sebuah lagi gospel yang sudah tidak wujud hari ini (lihat Gospel of Matthias). Jadi, mengapa penulis menyenaraikan Gospel of Thaddaeus ini seolah-olah ia masih wujud?
- Jika kita membuat pencarian internet, kita akan menemui laman-laman web yang mendakwa mempunyai terjemahan Gospel of Thaddaeus, contohnya di sini dan sini. Namun, laman-laman ini sebenarnya memaparkan rekaan fiksyen dan bukanlah Gospel of Thaddaeus yang sebenar!

9. Gospel of Bartholomew
- Bartholomew (Bartolomeus) adalah salah seorang daripada murid Jesus. (Matius 10:3)
- Sekali lagi (kali ketiga!), penulis memberikan gospel yang sudah tidak wujud hari ini.
- Memang terdapat manuskrip apokripa lain yang menggunakan nama Bartholomew iaitu Question of Barholomew. Namun, pengkaji masih belum pasti ia adalah manuskrip apokripa yang sama dengan Gospel of Bartholomew.
- Selain itu, Question of Bartholomew ini juga tidak memperkatakan tentang biografi Jesus. Sebaliknya, ia adalah soalan-soalan Bartholomew kepada Jesus dan juga Iblis!
- Anda boleh membaca manuskrip tersebut di sini.

10. Gospel of Philip
- Philip (Filipus) adalah salah seorang daripada murid Jesus. (Matius 10:3)
- Gospel ini ditulis sekitar abad ke-3. Maka, jelas bahawa ia bukan ditulis oleh Philip yang hidup pada abad pertama.
- Dan, Gospel of Philip ini juga tidak memperkatakan tentang biografi Jesus. Sebaliknya, penulisannya lebih bersifat falsafah tentang pengajaran-pengajaran Jesus.
- Anda boleh membaca manuskrip tersebut di sini.

11. Gospel of Thomas
- Thomas (Tomas) adalah salah seorang daripada murid Jesus. (Matius 10:3)
- Ini merupakan salah satu manuskrip Apokripa yang paling kontroversi kerana sekumpulan penyelidik yang menamakan diri mereka The Jesus Seminar telah mendakwa bahawa gospel ini berasal dari abad pertama.
- Namun, majoriti penyelidik meletakkan tarikh penulisan manuskrip ini pada pertengahan abad ke-2.[2]
Gospel ini juga tidak memperkatakan tentang biografi Jesus tetapi adalah sebuah koleksi kata-kata dan pengajaran Jesus.
- Atau, mungkin penulis sebenarnya merujuk kepada the Infancy Gospel of Thomas. Namun ia adalah berbeza dengan Gospel of ThomasThe Infancy Gospel of Thomas juga ditulis sekitar pertengahan abad ke-2.
- Anda boleh membaca sendiri manuskrip Gospel of Thomas di sini dan the Infancy Gospel of Thomas di sini.
* Saya telah menterjemahkan sebuah temuramah dengan Craig A. Evans, seorang yang pakar di dalam kajian tekstual manuskrip Perjanjian Baru, di sini. Beliau telah memberikan hujah yang kukuh mengapa Gospel of Thomas adalah sebuah penulisan apokripa yang palsu.

12. Gospel of Judas Iscariot
- Judas (Yudas) adalah salah seorang daripada murid Jesus, dan juga murid yang telah mengkhianati Jesus. (Matius 10:4)
- Saya pernah menulis tentang Gospel of Judas ini di sini. Saya juga telah menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu di sini.
- Gospel ini ditulis pada pertengahan abad ke-2. Malah, adalah mustahil untuk Judas menulisnya kerana dia mati pada masa yang sama Jesus disalibkan. Sedangkan isi kandungan gospel ini menceritakan saat-saat akhir sebelum Judas mengkhianati Jesus. Ia juga tidak menceritakan tentang biografi Jesus.
- Anda boleh membaca sendiri manuskrip tersebut di sini.

13. Gospel of Mary
- Mary (Maria) di sini bukan merujuk kepada ibu Jesus tetapi Mary Magdeline (Maria Magdelina). (Matius 27:56)
- Gospel ini ditulis sekitar pertengahan abad ke-2. Juga terlalu lewat untuk dikatakan ditulis oleh Mary.
Gospel ini juga tidak memperkatakan tentang biografi Jesus. Sebaliknya, ia mengandungi cerita selepas Jesus naik ke syurga.
- Anda boleh membaca sendiri manuskrip tersebut di sini.

14. Gospel of Nicodemus
- Nicodemus (Nikodemus) di sini merujuk kepada seorang Farisi yang juga adalah pemimpin agama Yahudi. (Yohanes 3:1)
- Gospel ini sebenarnya adalah penulisan dari abad ke-4. Ia hanyalah mengulang semula penceritaan di dalam sebuah lagi manuskrip Apokripa iaitu Act of Pilate, yang ditulis sekitar pertengahan abad ke-2 hingga abad ke-3.
- Ia lebih menceritakan tentang peristiwa sebelum dan sesudah Jesus disalibkan. Ia bukanlah biografi Jesus.
- Anda boleh membaca manuskrip tersebut di sini.

15. Act of Andrews
- Lihat Gospel of Andrews.

16. Act of John
- John di sini merujuk kepada murid Jesus. (Matius 10:2)
- Sama seperti Apocryphon of JohnAct of John ini ditulis pada sekitar pertengahan abad ke-2 hingga awal abad ke-3.
- Ia juga tidak menumpukan tentang biografi Jesus tetapi apa yang telah dilakukan dan dialami oleh John.
- Anda boleh membaca manuskrip tersebut di sini.

17. Act of Peter
- Peter (Petrus) merujuk kepada murid Jesus. (Matius 10:2)
- Act of Peter ini ditulis pada sekitar pertengahan abad ke-2 dan penyelidik mendapati ia berdasarkan Act of John. Dan, seperti Act of John, Act of Peter ini juga hanya menceritakan pengalaman dan perbuatan Peter selepas Jesus naik ke syurga.
- Ia tidak memberikan perincian tentang biografi Jesus.
- Anda boleh membaca sendiri manuskrip tersebut di sini.

18. Act of Thomas
- Thomas (Tomas) di sini merujuk kepada murid Jesus. (Matius 10:3)
- Manuskrip ini ditulis lebih lewat iaitu pada awal abad ke-3.
- Act of Thomas juga tidak menumpukan tentang biografi Jesus tetapi terhadap perbuatan dan pengalaman Thomas sendiri. Ia juga satu-satunya manuskrip Act yang berjaya diturunkan dalam keadaan lengkap. Mungkin kerana ia ditulis lebih lewat berbanding manuskrip-manuskrip Act yang lain.
- Anda boleh membaca sendiri manuskrip ini di sini.

19. Preaching of Peter
- Peter di sini merujuk kepada murid Jesus. (Matius 10:2)
- Untuk kali yang keempat, penulis melakukan kesilapan yang sama. Manuskrip ini sebenarnya sudah tidak wujud hari ini. Sumber-sumber yang ada hanyalah melalui penulisan-penulisan tokoh Kristian awal seperti Clement dan Origen, di mana mereka memetik beberapa ayat daripada Preaching of Peter ini.
- Malah, tidak dapat dipastikan sama ada Preaching of Peter ini adalah manuskrip atau sekadar tradisi lisan. Dan, ia juga bukanlah biografi tentang Jesus.
- Anda boleh membaca sendiri manuskrip tersebut di sini.

20. Epistle of Barnabas
- Barnabas adalah salah seorang sahabat Paul (juga dikenali sebagai Saulus atau Paulus) (Kis 4:36; 9:26-27).
- Sebenarnya, Epistle of Barnabas tidak berkaitan langsung dengan Gospel of Barnabas. Isi kandungan kedua-dua manuskrip ini jauh berbeza. Epistle of Barnabas mengakui kematian, kebangkitan dan keTuhanan Jesus, sedangkan Gospel of Barnabas tidak. Saya pernah menulis tentang perbezaan ini di sini.
- Epistle ini juga hampir-hampir dimasukkan ke dalam Bible/Alkitab, namun, ia dikeluarkan kerana berunsur Gnostic serta ditolak oleh Eusebius. Namun, secara keseluruhannya, ia bersetuju dengan peristiwa penyaliban dan kebangkitan Jesus.
- Epistle ini ditulis sekitar hujung abad pertama hingga awal abad ke-2.
- Dan, ia juga tidak memberikan biografi awal Jesus seperti yang didakwakan penulis.
- Anda boleh membaca sendiri manuskrip tersebut di sini.

21. Teaching of the Twelve Apostles
- Twelve Apostles merujuk kepada 12 murid yang dipilih sendiri oleh Jesus. (Matius 10:2-4)
- Manuskrip ini juga dikenali sebagai Didache. Jika anda membacanya, ia langsung tidak memperkatakan tentang biografi Jesus. Sebaliknya, ia adalah seperti suatu manual kepada orang-orang yang baru sahaja percaya kepada Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat. Atas sebab itulah nama lain untuk manuskrip ini adalah Didache yang bermaksud "mengajar".
- Isi kandungannya juga tidak bertentangan sepenuhnya dengan keempat-empat Injil yang ada, malah ia mengakui bahawa Jesus adalah Anak Allah. Malah, ia juga hampir dimasukkan ke dalam kanon Bible/Alkitab.
- Ia dianggarkan ditulis pada hujung abad pertama hingga awal abad ke-2.
- Anda boleh membaca sendiri manuskrip tersebut di sini.

22. Apostolical Constitutions
- Manuskirp ini merupakan himpunan lapan buah kitab atau "perlembagaan" yang ditulis bermula dari hujung abad ke-3 hingga awal abad ke-5.
- Ia juga tidak memperkatakan tentang biografi Jesus.
- Anda boleh membaca sendiri manuskrip tersebut di sini.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan ringkas di atas, kita mendapati suatu persamaan yang sangat ketara, iaitu:
1. Hampir keseluruhan manuskrip-manuskrip apokripa ini ditulis pada abad ke-2 (kecuali Epistle of Barnabas dan Didache).
- Ini bererti adalah mustahil untuk manuskrip-manuskrip apokripa ini ditulis oleh penama yang digunakan ke atas manuskrip tersebut.
- Maka, dari segi sejarah, manuskrip-manuskrip apokripa ini sebenarnya tidak bernilai kerana tidak ditulis oleh saksi-saksi kejadian, atau mereka yang hidup sezaman dengan saksi-saksi kejadian, dan mengandungi unsur-unsur mitos dan ditokok tambah.

2. Hampir kesemua manuskrip-manuskrip ini tidak menceritakan biografi Jesus, khususnya ketika Dia masih berusia 30 tahun ke bawah.
- Sedangkan, penulis mendakwa melalui gospel-gospel apocrypha ini (walaupun bukan semua manuskrip ini adalah gospel), kononnya kita akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang peribadi Jesus. Jelas dakwaan penulis adalah tidak tepat.

3. Hampir kesemua manuskrip ini sebenarnya bersetuju kepada perkara dasar kepercayaan Kristian iaitu Jesus disalibkan dan bangkit dari kematian (kecuali Gospel of Barnabas).
- Sebaliknya, kepercayaan penulis bercanggah dengan hal ini.
- Dengan kata lain, dalam lingkungan tiga abad pertama, tidak ada yang menafikan kematian dan penyaliban Jesus. Namun, tiba-tiba pada abad ke-6, muncul seorang nabi yang mendakwa Jesus tidak disalibkan.
- Satu-satunya 'sokongan' untuk dakwaan bahawa Jesus tidak disalibkan adalah Gospel of Barnabas. Malangnya, ia ditulis pada abad ke-14 hingga abad ke-16.
- Fikirkan, kenyataan mana satukah yang lebih munasabah untuk dipercayai?
A) Kenyataan daripada sumber yang lebih dekat kepada peristiwa yang terjadi dengan ramai saksi sokongan,
atau,
B) Kenyataan yang dari sumber yang timbul 600 tahun selepas peristiwa tersebut terjadi dan langsung tidak mempunyai sebarang saksi sokongan?

Maka, adakah melalui manuskrip-manuskrip apokripa ini, kita akan dapat lebih mengetahui peribadi Jesus di dalam sejarah yang sebenar?

Anda sendiri yang menentukannya.


Untuk rujukan lanjut:
  • New Testament Apocrypha: Writings Relating to the Apostles Apocalypses and Related Subjects, Wilhelm SchneemelcherRobert McLachlan Wilson. (Buku Online)
  • New Testament Apocrypha, Volume 1Wilhelm SchneemelcherRobert McLachlan Wilson. (Buku Online)
  • Early Christian Writings. (web)
  • Christian Classic Ethereal Library. (web)
  • The Case for Christ. (buku)
  • http://answering-islam.org/Barnabas/
  • The Gnosis Archieve. (web)
  • The Case for the Real Jesus. (buku)

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
- Manuskrip Gospel of Andrew/Act of Andrew ini juga ditulis sekitar pertengahan abad ke-2 hingga pertengahan abad ke-3. Ini bererti manuskrip ini bukan ditulis oleh Andrew kerana Andrew hidup pada abad pertama. Maka, manuskrip ini sebenarnya adalah palsu.
- Manuskrip ini juga ditulis pada pertengahan abad ke-2 dan dinyatakan sebagai bidaah oleh tokoh-tokoh Kristian awal seperti Eusebius. Ini menunjukkan ia bukan ditulis oleh Peter kerana dia hidup dan meninggal pada abad pertama
Cuma, terdapat perincian yang bersifat mitos ditambahkan ke dalam penceritaannya, seperti kayu salib yang berkata-kata, serta tubuh Jesus berubah menjadi tinggi hingga melebihi langit.
- Manuskrip ini juga ditulis pada pertengahan abad ke-2. Lama setelah John yang sebenar meninggal dunia, iaitu pada abad pertama.
Jika begini hujah saudara, ini bermakna injil yang ada sekarang bukanlah ditulis oleh penulis asal iaitu anak-anak murid Jesus. Seperkara lagi, tarikh kematian bukanlah bukti untuk mengatakan injil tsb ditulis oleh pengarang yang sebenar. Contohnya, saudara telah mati pada 1/2/2014 dan 5 tahun kemudian mucul Injil yang telah didakwa adalah ditulis oleh saudara pada 1/2/2010. Adakah ini membuktikan saudara adalah penulis sebenar Injil tsb walhal saudara mati tanpa menerbitkan apa2 Injil?? Ataupun, saudara mati pada 1/2/2014 dan 5 tahun kemudiannya muncul Injil yang ditulis pada 1/2/2018 dan didakwa adalah penulisan saudara sendiri. Kemungkinan yang ada ialah anak murid saudara yang mewarisi penulisan saudara dan menerbitkan Injil atas nama saudara atas sebab hormat anak murid pada gurunya?? Jika begini hujah saudara, wajar kiranya saudara mencari Injil yang benar2 dari Jesus sendiri (yang diucapkan oleh Jesus sendiri) bukannya kesaksian oleh saksi2 (anank2 murid) yang hidup sezaman dengan beliau.
Tanpa Nama berkata…
Cuma, terdapat perincian yang bersifat mitos ditambahkan ke dalam penceritaannya, seperti kayu salib yang berkata-kata, serta tubuh Jesus berubah menjadi tinggi hingga melebihi langit.
Apakah peristiwa kayu salib yang berkata2 dianggap mitos sekiranya dibandingkan dengan peristiwa patung emas lembu yang boleh berkata2 diwaktu zaman Nabi Musa?? Atau mukjizat Yesus yang mampu menyembuhkan malah menghidupkan kembali manusia?? Adakah tubuh Jesus menjadi tinggi melebihi langit dianggap mitos kiranya dibandingkan hidupnya Jesus setelah 3 hari dibunuh???? Apakah saudara cuba mengatakan mukjizat Jesus dan kembalinya dia dari kematian tidak bersifat mitos akan tetapi kayu yang berkata2 adalah sebaliknya walhal jika diukur tahap kepayahan dan tahap penerimaan, pasti sekali cerita manusia yang hidup kembali setelah 3 hari dibunuh dan seterusnya menjadi tuhan adalah amat sukar dipercayai jika dibandingkan dengan cerita kayu salib yang boleh berkata2..
Unknown berkata…
Tanpa nama,
Anda menulis,
"Jika begini hujah saudara, ini bermakna injil yang ada sekarang bukanlah ditulis oleh penulis asal iaitu anak-anak murid Jesus."

- Boleh anda jelaskan bagaimana anda sampai kepada kesimpulan ini?

Tentang tarikh penulisan sesuatu manuskrip Injil,
Nampaknya anda keliru dengan apa yang dimaksudkan sebagai tarikh penulisan dan juga si penulis.

Contoh yang anda berikan tidak tepat menggambarkan situasi penulisan kitab-kitab Injil ini.

Anda menulis,
"Seperkara lagi, tarikh kematian bukanlah bukti untuk mengatakan injil tsb ditulis oleh pengarang yang sebenar. Contohnya, saudara telah mati pada 1/2/2014 dan 5 tahun kemudian mucul Injil yang telah didakwa adalah ditulis oleh saudara pada 1/2/2010. Adakah ini membuktikan saudara adalah penulis sebenar Injil tsb walhal saudara mati tanpa menerbitkan apa2 Injil??"

- Di dalam contoh ini, anda telah pun memberikan suatu kepastian bahawa "saya" tidak menerbitkan sebarang Injil.
- Dengan kata lain, melalui contoh ini, anda mengandaikan penulis2 kitab Injil, iaitu Matius, Markus, Lukas dan Yohanes (berkemungkinan) tidak menulis sebarang Injil.
- Namun, "andaian" ini mendedahkan anda belum menyelidiki hal ini (iaitu sejarah penulisan kitab-kitab Injil).
- Kerana, kita tahu siapa penulis2 kepada kitab-kitab Injil ini, iaitu Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes.
- Kita tahu kerana walaupun kitab2 ini disebarkan pada zaman orang2 Kristian tertindas, serta tersebar jauh sehingga ke Asia Timur, nama kepada penulis kitab-kitab ini kekal sama.

- Anda mengatakan "tarikh kematian bukan bukti untuk mengatakan injil tersebut ditulis oleh pengarang yang sebenar". Secara umumnya, anda benar. Namun, kita memperkatakan sesuatu yang spesifik, iaitu kajian manuskrip kuno.
- Dalam mengetahui angaran penulisan sesuatu penulisan kuno itu, para penyelidik akan menilai gaya bahasa, jenis tulisan, isi kandungan, penemuan arkeologi, budaya setempat ketika zaman ia ditulis (atau zaman ia didakwa telah ditulis), bahan yang digunakan untuk menulis, dan banyak lagi.
- Melalui kriteria2 ini, para penyelidik (Kristian atau bukan Kristian) mendapati semua Injil Apokripa ditulis bukan pada zaman kehidupan nama-nama yang cuba dikaitkan sebagai penulis kepada kitab2 Injil Apokripa tersebut.

Sebagai contoh,
- Pada tahun 1600, gaya bahasa dan sistem penulisan bahasa Melayu jauh berbeza dengan zaman ini.
- Pada tahun tersebut juga muncul seorang tokoh yang terkenal dan berpengaruh. Dikatakan tokoh tersebut telah menulis suatu dokumen, namun tidak ditemui sehingga kini.
- Tiba-tiba, seorang berkata telah menemui sebuah manuskrip dokumen yang menurutnya telah ditulis oleh tokoh tersebut.
- Namun, apabila diselidiki, gaya penulisan, sistem ejaan, perincian budaya yang dinyatakan di dalam manuskrip tersebut, bercanggah dan tidak sepadan dengan gaya penulisan, sistem ejaan, dan budaya sebenar tahun 1600, iaitu zaman kehidupan tokoh tersebut.
- Sebaliknya, gaya penulisan, sistem ejaan dan budaya yang digunakan adalah pada tahun 1900.
- Maka, penyelidik akan menyimpulkan, berdasarkan bukti-bukti tekstual yang ada, manuskrip yang didakwa telah ditulis oleh tokoh tersebut sebagai palsu.

Kaedah ini digunakan dalam menyelidiki manuskrip2 kuno (termasuk pelbagai lagi kriteria lain, contoh yang diberikan ini hanyalah salah satu darinya).

Itulah yang telah dilakukan dalam menyelidiki kitab2 Injil Apokripa ini, dan fakta yang ada menunjukkan kitab2 ini adalah palsu.
Unknown berkata…
Tanpa nama,
Anda menulis,
"Ataupun, saudara mati pada 1/2/2014 dan 5 tahun kemudiannya muncul Injil yang ditulis pada 1/2/2018 dan didakwa adalah penulisan saudara sendiri. Kemungkinan yang ada ialah anak murid saudara yang mewarisi penulisan saudara dan menerbitkan Injil atas nama saudara atas sebab hormat anak murid pada gurunya??"

- Nampaknya, anda belum pernah membaca kitab2 Injil Apokripa ini. Jika anda telah membacanya, anda tidak akan memberikan andaian ini.
- Kerana, semua kitab-kitab Injil Apokripa ini didakwa mendapat sumber dari nama yang dikaitkan sebagai penulis kitab2 tersebut.
- Tidak ada yang mengatakan ia ditulis oleh murid si penulis.
- Contohnya, penulis Gospel of Barnabas mendakwa dirinya adalah Barnabas yang sebenar. Namun, kita tahu melalui gaya bahasa, perincian budaya, gaya penulisan, dll, kitab Injil Barnabas ini bukan ditulis oleh Barnabas yang sebenar.
- Maka, andaian anda ini sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh.

Anda menulis,
"Jika begini hujah saudara, wajar kiranya saudara mencari Injil yang benar2 dari Jesus sendiri (yang diucapkan oleh Jesus sendiri) bukannya kesaksian oleh saksi2 (anank2 murid) yang hidup sezaman dengan beliau."

- Apa yang disaksikan dan didengar oleh murid-murid Yesus adalah Injil yang sebenar. Injil tersebut adalah Yesus sendiri, iaitu kelahiran, kematian dan kebangkitan-Nya.
- Maka, saranan anda ini sebenarnya hanya menunjukkan anda salah faham dengan apa maksud Injil yang sebenar.

Anda menulis,
"Apakah peristiwa kayu salib yang berkata2 dianggap mitos sekiranya dibandingkan dengan peristiwa patung emas lembu yang boleh berkata2 diwaktu zaman Nabi Musa??"

- Sebenarnya, saya juga tidak percaya kepada kisah patung lembu emas yang boleh berkata2 tersebut. Kisah ini hanya dicatatkan di dalam Al-Quran. Ia tidak ada di dalam himpunan kitab Taurat pada Perjanjian Lama.
- Malah, tidak ada satu pun manuskrip kuno kisah Nabi Musa yang mencatatkan kisah patung lembu emas tersebut boleh berkata-kata.
Unknown berkata…
Anda menulis,
"Atau mukjizat Yesus yang mampu menyembuhkan malah menghidupkan kembali manusia?? Adakah tubuh Jesus menjadi tinggi melebihi langit dianggap mitos kiranya dibandingkan hidupnya Jesus setelah 3 hari dibunuh???? Apakah saudara cuba mengatakan mukjizat Jesus dan kembalinya dia dari kematian tidak bersifat mitos akan tetapi kayu yang berkata2 adalah sebaliknya walhal jika diukur tahap kepayahan dan tahap penerimaan, pasti sekali cerita manusia yang hidup kembali setelah 3 hari dibunuh dan seterusnya menjadi tuhan adalah amat sukar dipercayai jika dibandingkan dengan cerita kayu salib yang boleh berkata2.."

- Ini bukan soal "tahap kepayahan dan tahap penerimaan".
- Peristiwa penyaliban dan kebangkitan Yesus, dicatatkan bukan hanya oleh satu penulis, tetapi 4 orang penulis awal, yang mana menulis pada zaman peristiwa kebangkitan tersebut terjadi. Bukan itu sahaja, penulis2 bukan Kristian, yang menulis pada zaman yang sama, turut mencatatkan peristiwa penyaliban Yesus, dan menyatakan bahawa murid-murid-Nya percaya Dia telah bangkit dari kematian. Ini menunjukkan wujud bukti-bukti sokongan yang mengukuhkan lagi kesahihan keempat kitab Injil yang ada sekarang.

- Sebaliknya, kisah tubuh Jesus melebih langit dan kayu salib yang berkata2 pula hanya dicatatkan di dalam satu kitab. Malah, kajian mendapati kitab tersebut ditulis bukan pada zaman kehidupan Yesus atau pun zaman kehidupan nama yang diletakan sebagai penulis kitab Apokripa tersebut.

- Nampaknya, anda seperti menerima sesuatu itu bukan berdasarkan bukti, tetapi berdasarkan "tahap kepayahan dan tahap penerimaan"?

Selain itu, anda juga jelas salah faham dengan kepercayaan Kristian apabila berkata,
"pasti sekali cerita manusia yang hidup kembali setelah 3 hari dibunuh dan seterusnya menjadi tuhan"

- Kristian tidak pernah percaya Yesus adalah manusia yang menjadi Tuhan.
- Sebaliknya, Kristian percaya Yesus adalah Tuhan yang menjadi manusia. Sebelum Dia menjadi manusia, Dia memang adalah Tuhan.
Ketika Dia menjadi manusia, keperibadian-Nya kekal adalah Tuhan. Dan ketika Dia bangkit dari kematian, Dia kembali kepada sepenuh kemuliaan-Nya sebagai Tuhan.
- Mungkin ada baiknya anda menyelidiki dahulu kepercayaan sebenar Kristian sebelum mempertikaikannya.
Tanpa Nama berkata…
saudara menegaskan kajian2 yang dilakukan adalah benar dan tepat...boleh dipercayai..akan tetapi saudara perlu mengakui, fakta2 sejarah yang ada pada masa kini banyak telah diselewengkan untuk kepentingan pihak2 tertentu..sejarah yang dikatakan besandarkan kepada tulisan, masnuskrip org terdahulu, sendiri telah menjadi alat untuk pihak2 berkepentingan dalam mencipta sejarah mereka..lalu, bagaiman hasil kajian ini boleh dipercayai..sbg. contoh, dalam sejarah kristian itu sendiri, telah banyak pembunuhan berlaku spt pembunuhab wira2 kristian setelah selesai perang salib oleh pihak gereja (vatican-kalau tak silap) demi membendung pengaruh mereka..dan juga pembantaian oleh pihak gereja ke atas ahli2 sains sehingga mereka ini dianggap mengamalkan ajaran iblis/bidaah...
Unknown berkata…
Tanpa nama,
Anda menulis,
"saudara menegaskan kajian2 yang dilakukan adalah benar dan tepat...boleh dipercayai..akan tetapi saudara perlu mengakui, fakta2 sejarah yang ada pada masa kini banyak telah diselewengkan untuk kepentingan pihak2 tertentu..sejarah yang dikatakan besandarkan kepada tulisan, masnuskrip org terdahulu, sendiri telah menjadi alat untuk pihak2 berkepentingan dalam mencipta sejarah mereka..lalu, bagaiman hasil kajian ini boleh dipercayai.."

- Berdasarkan kenyataan anda ini, anda nampaknya seperti belum pernah menyelidiki hal yang anda katakan sebagai "fakta2 sejarah yang ada pada masa kini banyak telah diselewengkan untuk kepentingan pihak2 tertentu".
- Jika anda pernah/sudah menyelidiki hal tersebut, apa kata anda berikan contoh "fakta2 sejarah yang ada pada masa kini banyak telah diselewengkan untuk kepentingan pihak2 tertentu" tersebut.

- Contohnya, tentang hal Injil Apokripa ini, apakah hal2 yang telah diselewengkan tersebut?

"sbg. contoh, dalam sejarah kristian itu sendiri, telah banyak pembunuhan berlaku spt pembunuhab wira2 kristian setelah selesai perang salib oleh pihak gereja (vatican-kalau tak silap) demi membendung pengaruh mereka..dan juga pembantaian oleh pihak gereja ke atas ahli2 sains sehingga mereka ini dianggap mengamalkan ajaran iblis/bidaah..."

- Anda nampaknya memberikan suatu dakwaan. Apa kata anda nyatakan sumber kepada dakwaan anda ini? Agar kita boleh menyelidiki kesahihan dakwaan ini bersama-sama.
- Kemudian, apa kata anda jelaskan bagaimana dakwaan yang anda berikan ini memberi kesan kepada kesahihan kepercayaan Kristianiti dan juga perkaitannya dengan Injil Apokripa.

Sebagai contoh,
- Anda mendakwa wujud peristiwa pembunuhan wira2 Kristian setelah selesai perang salib oleh pihak gereja (anda mengatakan Vatican) demi membendung pengaruh mereka. Dari mana anda mendapat sumber dakwaan anda ini? Adakah ini dakwaan yang berdasarkan fakta sejarah atau bersumberkan dari novel "the DaVinci Code"?
- Selain itu, Perang Salib bermula pada abad ke-9.
- Maka, bagaimana peristiwa yang berlaku 9 abad setelah permulaan Kristianiti ini memberikan kesan ke atas kesahihan kepercayaan Kristian? Contohnya, penyaliban Yesus, kebangkitan Yesus, penyembahan Yesus sebagai Tuhan, dll.