Langkau ke kandungan utama

Kemahiran Interpersonal dalam berkongsi: #1: Jadilah seorang yang mengasihi

sumber gambar
Siapa diri anda (atau apa yang anda lakukan selalunya) lebih menonjol berbanding apa yang anda katakan. Kita semua pernah berhadapan dengan individu-individu yang sukar. Ada yang suka berkata-kata tanpa membenarkan anda mencelahnya. Ada yang hanya berminat berkata-kata tentang dirinya sendiri. Ada juga yang mempunyai nafas yang berbau kurang menyenangkan, kadang-kala ada sisa makanan tertinggal di celah-celah giginya, dan tubuh yang berbau seperti orang yang hanya mandi pada hari Sabtu. Ramai juga di antara orang-orang ini sangat bijak. Namun, sering kali tidak ada yang mahu mendengar pendapat anda. Adalah penting, selain mempunyai bukti kukuh yang menyokong peristiwa kebangkitan Yesus, bahawa kita mempersembahkan diri kita dengan cara yang boleh membantu orang lain untuk bersikap terbuka dengan apa yang hendak kita perkatakan. Di sini ada beberapa petua yang mungkin dapat membantu anda untuk lebih efektif apabila berkomunikasi dengan orang lain.


Jadilah Seorang yang Mengasihi

Bagaimanakah sifat anda apabila bersama-sama dengan orang lain? Keluarga saya dan saya (Licona) berada di dalam sebuah kereta yang telah dilanggar oleh orang lain. Bumper belakang kereta kami dilanggar agak kuat dan penutup enjin kereta yang melanggar kami telah kemek. Ketika saya sedang menunggu ketibaan pihak polis sambil berbual-bual dengan pemandu kereta yang melanggar kereta kami, seorang pemuda dengan rambut yang disikat rapi, memakai kemeja putih, seluar panjang, dan tali leher, datang ke arah kami dan kemudian memberikan kami sebuah buku kecil tentang Injil lalu berkata, "Nah, baca ini sementara kamu menunggu." Dia tersenyum lalu berlalu meninggalkan kami, tanpa bertanya jika ada sesiapa yang tercedera atau menawarkan sebarang bantuan. Jika saya adalah seorang yang tidak percaya (bukan Kristian), saudara yang berniat baik itu pasti telah menjadi bahan ejekan di dalam perbualan seterusnya. Dia tidak meninggalkan sebarang gambaran kasih daripada Injil Kristus.

Jika kita mahu orang lain mendengar secara serius mesej yang kita sampaikan, kita perlu menjadi penyampai mesej yang mempunyai kredibiliti. Mungkin cara terbaik kita melakukan hal ini adalah dengan merenungkan kasih Kristus di dalam kehidupan kita, yang mana juga adalah mesej utama yang hendak kita kongsikan dengan orang lain. Apa yang anda sampaikan? Adakah anda terlalu risau untuk tidak menyinggung orang lain sehingga anda tidak mahu menyatakan pendirian tetap anda terhadap hampir semua perkara? Hal ini jauh berbeza dengan cara Yesus. Ramai yang tersinggung dengan pengajaran-pengajaran-Nya.

Atau, adakah anda seorang penginjil yang berjalan dengan raut wajah yang marah? Adakah orang lain dapat menghidu bau terbakar dari muka anda? Ini juga bukanlah cara pendekatan Yesus secara umum. Walaupun Dia tidak teragak-agak berhadapan dengan para pemimpin Yahudi pada zaman tersebut yang mana hanya mementingkan kedudukan, kuasa dan tradisi berbanding perhubungan yang intim dengan Tuhan, Yesus lebih banyak menghabiskan waktu-Nya melayani orang ramai dan memberitakan Injil kepada mereka. Jika kita memperlihatkan kepada dunia bahawa Kristianiti lebih baik berbanding dunia ini, mungkin mereka yang tidak percaya akan lebih berminat untuk mendengar apa yang kita perkatakan. Jangan lupa bahawa selain kebenaran itu sendiri, kita juga mahu mengikuti perubahan kehidupan yang diperolehi melalui kasih karunia Yesus Kristus.

Diterjemahkan dari buku The Case for the Resurrection of Jesus, m/s 191-192.

Ulasan