Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #18: Tidak tahu bila kiamat akan terjadi?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Pada muka surat 18 buku ini, penulis memberikan dakwaan berikut:
Allah yang mengajarkan kepada Jesus perihal kebijaksanaan, Taurat, dan Injil. Jesus tidak mengetahui apa-apa berkaitan perkara ghaib, perkara yang sudah terjadi dan akan terjadi seperti hari kiamat. Jesus hanya manusia biasa. Sekiranya tidak diberitahu oleh Allah, dia tidak akan tahu segala hal. Sebagai bukti Jesus bukan Allah dan tidak sama dengan Allah adalah, Jesus tidak mengetahui bila kiamat akan berlaku. Jesus berkata,
"Tidak ada seorang pun yang tahu, malaikat-malaikat di syurga tidak tahu, dan anak pun tidak, hanya Bapa yang tahu." (Matthew: 24:36)
Sebelum itu, berikut saya berikan terjemahan sebenar ayat Matius 24:36.
"Tetapi tentang hari dan saat itu tidak seorangpun yang tahu, malaikat-malaikat di sorga tidak, dan Anakpun tidak, hanya Bapa sendiri." (TB)
"Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, sama ada malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu." (TMV)
Ayat yang sama ini juga terdapat di dalam Markus 13:32.
"Tetapi tentang hari atau saat itu tidak seorangpun yang tahu, malaikat-malaikat di sorga tidak, dan Anakpun tidak, hanya Bapa saja." (TB)
"Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, baik malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu." (TMV)
Berbalik kepada dakwaan penulis, ia merupakan antara dakwaan yang sering diberikan kepada Kristian. Penulis cuba menggunakan ayat Matius 24:36 sebagai bukti bahawa Jesus bukanlah Tuhan. Argumen penulis secara ringkas adalah seperti berikut:
  1. Hanya Tuhan yang tahu bila hari kiamat akan berlaku.
  2. Jesus tidak tahu bila hari kiamat akan berlaku.
  3. Maka, Jesus bukan Tuhan.
Dakwaan ini tidak mengendahkan kepercayaan sebenar Kristian. Kristian percaya bahawa Jesus memang telah menjadi manusia sepenuhnya ketika Dia datang ke dalam dunia ini. Atas sebab itulah Dia mengalami semua yang dapat dialami oleh manusia biasa (pernah diperkatakan di sini).

Untuk memahami hal ini, perlu diketahui, bahawa ketika Jesus berkata demikian, Dia masih berada di dalam dunia sebagai manusia. Dia telah datang sebagai "Anak" yang "diutus" oleh Bapa.

Sebelum datang ke dalam dunia, Jesus adalah "Firman" dan "Firman itu adalah Allah".
"Pada mulanya adalah Firman; Firman itu bersama-sama dengan Allah dan Firman itu adalah Allah." (Yohanes 1:1, TB)
Kemudian, "Firman" itu telah menjadi manusia, dan dipanggil sebagai "Anak Tunggal Bapa".
"Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, dan kita telah melihat kemuliaan-Nya, yaitu kemuliaan yang diberikan kepada-Nya sebagai Anak Tunggal Bapa, penuh kasih karunia dan kebenaran." (Yohanes 1:14, TB)
Ketika itu, Jesus telah menjadi sepenuhnya manusia, dan pada masa yang sama, Peribadi-Nya masih kekal sepenuhnya ilahi (sila rujuk artikel berikut: Kesatuan Hipostatik). Dalam keadaan manusia-Nya, iaitu sebagai "Anak Manusia", Jesus telah membenarkan diri-Nya dibatasi oleh keterbatasan seorang manusia. Ia dijelaskan oleh Rasul Paulus di dalam Filipi 2:5-8,
"5 Hendaklah kamu dalam hidupmu bersama, menaruh pikiran dan perasaan yang terdapat juga dalam Kristus Yesus, 6 yang walaupun dalam rupa Allah, tidak menganggap kesetaraan dengan Allah itu sebagai milik yang harus dipertahankan, 7 melainkan telah mengosongkan diri-Nya sendiri, dan mengambil rupa seorang hamba, dan menjadi sama dengan manusia. 8 Dan dalam keadaan sebagai manusia, Ia telah merendahkan diri-Nya dan taat sampai mati, bahkan sampai mati di kayu salib." (TB)
Ketika dalam keadaan inilah Jesus mengeluarkan kata-kata pada Matius 24:36 tersebut. Maka, atas sebab itulah Jesus berkata, "Anak pun tidak" tahu tentang hari kiamat. Kerana, sebagai seorang hamba ketika itu, Jesus tidak tahu.

Perhatikan dengan jelas. Jesus tidak berkata "Aku pun tidak" tahu. Sebaliknya, Dia berkata "Anak pun tidak" tahu. Ini menunjukkan Jesus membezakan status-Nya ketika itu, iaitu sebagai "Anak" yang belum kembali kepada sepenuh kemuliaan-Nya sebagai Tuhan. "Anak" di sini merujuk kepada status Jesus sebagai "Anak Manusia" ketika itu.

Maka, berdasarkan konteks keseluruhan ayat Matius 24:36, ia sebenarnya bukan mengatakan Jesus tidak tahu, tetapi "keadaan manusia Jesus" yang dikatakan tidak tahu.

Bukan itu sahaja, ayat Matius 24:36 ini juga sebenarnya menunjukkan suatu urutan dari status yang rendah, sehinggalah yang tertinggi. Perhatikan, mula-mula, Jesus menyebut manusia, kemudian malaikat, seterusnya Anak, dan terakhir adalah Bapa. Melalui urutan ini, kita mendapati Jesus meletakkan status-Nya di atas malaikat. Sedangkan menurut Alkitab, status manusia biasa adalah lebih rendah berbanding malaikat.

Jika Jesus melihat diri-Nya hanya sebagai manusia biasa, bukan sebagai Firman yang menjadi manusia, bukan sebagai "Anak Tunggal" yang menjadi "Anak manusia", mengapa Jesus meletakkan diri-Nya di atas malaikat? Sepatutnya Jesus berkata "tidak seorang pun yang tahu, Anak pun tidak, malaikat-malaikat disorga pun tidak, hanya Bapa sendiri".

Jesus meletakkan diri-Nya di atas malaikat-malaikat di syurga. Kerana, walaupun Dia datang sebagai manusia, Dia kekal adalah Firman. Sifat asal Jesus tidak berubah. Dia kekal adalah Tuhan. Cuma, Dia mengosongkan diri-Nya untuk sementara, dengan menjadi manusia. Dia membenarkan diri-Nya menjadi terbatas seperti manusia biasa, dan keterbatasan ini yang membuatkan Dia berkata Anak pun tidak tahu bila hari kiamat akan terjadi.

Kesimpulan
Kita lihat semula argumen penulis:
  1. Hanya Tuhan yang tahu bila hari kiamat akan berlaku.
  2. Jesus tidak tahu bila hari kiamat akan berlaku.
  3. Maka, Jesus bukan Tuhan.
Jelas bahawa poin 2 adalah tidak benar, kerana Jesus tidak mengatakan "Aku" tidak tahu, tetapi Dia menggunakan kata ganti nama "Anak", yang mana menggambarkan status dan keadaan yang diambil-Nya ketika itu sebagai manusia dan hamba, untuk menyatakan bahawa "Anak" tidak tahu bila kiamat akan berlaku.

Jesus juga meletakkan diri-Nya di atas malaikat, iaitu di bawah Bapa. Jika Jesus melihat diri-Nya hanya sebagai manusia biasa, sepatutnya Jesus meletakkan diri-Nya di bawah malaikat iaitu bersama-sama dengan manusia biasa.

Maka, ayat Matius 24:36 sebenarnya tidak menunjukkan Jesus hanyalah manusia biasa. Sebaliknya, ia menunjukkan penulis telah mengambil ayat tersebut di luar konteks sebenar dan memberikan pengertian yang tidak tepat agar sesuai dengan kepercayaannya sendiri.

Rujukan tambahan:

Ulasan