Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #19: Bukan kehendak Jesus sendiri?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Pada muka surat 20 dan 21 buku ini, penulis memberikan kenyataan berikut:
"Dan Aku iaitu Jesus bukan datang atas kehendakku sendiri, tetapi Dia yang mengutus aku." (John: 8:42)
Ayat ini menunjukkan Jesus hanyalah utusan Allah dan dia menjadi Rasul bukan atas kehendaknya tetapi atas kehendak Allah. Sekiranya Jesus adalah anak Allah ataupun Allah, pasti Jesus menjadi rasul mengikut kehendaknya sendiri, bukan kerana kehendak tuhan. Ini kerana tuhan dan Jesus adalah satu dalam tiga ataupun triniti.
Penulis sekali lagi memetik ayat Alkitab di luar konteks, dan kali ini, penulis tidak memetik keseluruhan ayat John 8:42.

Saya berikan ayat tersebut:
"Kata Yesus kepada mereka: "Jikalau Allah adalah Bapamu, kamu akan mengasihi Aku, sebab Aku keluar dan datang dari Allah. Dan Aku datang bukan atas kehendak-Ku sendiri, melainkan Dialah yang mengutus Aku." (Yohanes 8:42, TB)
Jesus dengan jelas mengatakan Dia keluar dan datang dari Allah. Jika Jesus hanya seorang rasul atau nabi biasa, dapatkah Dia berkata demikian tanpa melakukan kekufuran? Jesus tidak mengatakan Dia dicipta oleh Allah, tetapi "keluar dan datang" daripada Allah. Perkataan Greek yang digunakan "εξερχομαι" (dibaca eks-e'r-kho-mai) tidak membawa konotasi "mahkluk ciptaan" tetapi membawa maksud berasal dari sumber yang sama.

Malah, jika kita membaca permulaan kitab John, konteks keseluruhan tentang siapa itu Jesus telah diberikan dengan jelas oleh John!
"Pada mulanya adalah Firman; Firman itu bersama-sama dengan Allah dan Firman itu adalah Allah." (Yohanes 1:1, TB)
"Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, dan kita telah melihat kemuliaan-Nya, yaitu kemuliaan yang diberikan kepada-Nya sebagai Anak Tunggal Bapa, penuh kasih karunia dan kebenaran." (Yohanes 1:14, TB)
Firman itu adalah Allah dan telah menjadi manusia iaitu Jesus. Maka, adalah sesuatu yang sangat menghairankan apabila penulis memetik ayat John 8:42 tanpa memperhatikan konteks keseluruhan kitab John yang mengatakan Jesus adalah Tuhan.

Sebagai Firman yang menjadi manusia, sudah tentu Jesus dapat berkata Dia diutus oleh Bapa kerana pengutusan ini menekankan kemanusiaan Jesus ketika itu. Kerana Dia telah merendahkan diriNya dengan menjadi seperti seorang hamba; dengan menjadi sama seperti manusia (Filipi 2:7).

Dan sudah tentu Jesus akan berkata Dia melakukan kehendak Bapa dan bukan kehendak-Nya sendiri, kerana Dia telah menjadikan diri-Nya seperti seorang hamba, yang menurut kehendak tuannya. Malah Jesus sendiri berkata,
"Sebab Aku telah turun dari sorga bukan untuk melakukan kehendak-Ku, tetapi untuk melakukan kehendak Dia yang telah mengutus Aku." (Yohanes 6:38, TB)
Adakah seorang nabi biasa dapat berkata bahawa dirinya telah "turun dari sorga"? Ungkapan ini membawa maksud Jesus mengakui diri-Nya adalah berasal dari syurga! Dapatkah manusia biasa mengaku bahawa dia berasal dari syurga? Dan Jesus mengatakan walaupun Dia "berasal" dari syurga, Dia telah turun ke bumi bukan untuk melakukan kehendak-Nya sendiri tetapi melakukan kehendak Dia yang mengutus-Nya.

Hal ini sepadan dengan permulaan kitab John, di mana Firman (Allah) bersama-sama dengan Allah (di syurga), dan Firman itu telah turun ke bumi dengan menjadi manusia (Jesus).

Maka, jelas bahawa penulis telah memutarbelitkan ungkapan "bukan kehendak-Ku sendiri" oleh Jesus. Hakikatnya, ungkapan tersebut tidak menidakkan keTuhanan Jesus.

Ulasan