Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #20: Apakah maksud "Anak Allah"?

Senarai lengkap siri post ini di sini.

Pada muka surat 22, penulis cuba mendefinisikan maksud "Anak Allah" sebagai bermaksud "rasul atau pun nabi". Beliau memetik penulisan Kiyai Haji Bahaudin Mudhary untuk menyokong definisi tersebut. Masalahnya, penulis tidak menjelaskan dengan lebih lanjut hal ini. Malah, beliau tidak memetik mana-mana sumber penulisan Kristian yang menjelaskan apakah maksud sebenar "Anak Allah" yang digunakan ke atas Jesus.

Akibatnya, pembaca yang tidak tahu penggunaan sebenar istilah "Anak Allah" ini ke atas Jesus mungkin akan keliru dengan dakwaan tanpa penjelasan yang diberikan penulis. 

Maka, apakah maksud sebenar penggunaan "Anak Allah"  ke atas Jesus ini menurut Bible/Alkitab?


Untuk mengetahui maksud penggunaan istilah ini ke atas Jesus, kita lihat beberapa ayat Alkitab berikut:
"Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, dan kita telah melihat kemuliaan-Nya, yaitu kemuliaan yang diberikan kepada-Nya sebagai Anak Tunggal Bapa, penuh kasih karunia dan kebenaran." (Yohanes 1:14, TB LAI)
"Karena begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal." (Yohanes 3:16, TB LAI)
Di dalam ayat-ayat ini, Jesus dipanggil sebagai "Anak Tunggal" Bapa. Perkataan Greek asal untuk istilah ini adalah "μονογενης = monogenes". Ia membawa maksud "satu-satunya", "tidak ada yang lain", "unik", dan kata "genes" pula membawa maksud "dari sumber yang sama".

Maka, gelaran Jesus sebagai "Anak Allah" adalah unik dan berbeza daripada individu-individu lain (atau pihak-pihak lain) yang mana juga dipanggil sebagai "anak Allah" di dalam Alkitab. 

Jika gelaran "Anak Allah" yang diberikan ke atas Jesus adalah sekadar bermaksud "rasul atau pun nabi", mengapa apabila Jesus mengaku sebagai "Anak Allah" di hadapan para pemimpin agama Yahudi, Dia dituduh sebagai telah menghujat Allah, iaitu menyamakan diri-Nya dengan Allah? Telitikan kisah ini,
"Tetapi Ia tetap diam dan tidak menjawab apa-apa. Imam Besar itu bertanya kepada-Nya sekali lagi, katanya: "Apakah Engkau Mesias, Anak dari Yang Terpuji?" Jawab Yesus: "Akulah Dia, dan kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Yang Mahakuasa dan datang di tengah-tengah awan-awan di langit." Maka Imam Besar itu mengoyakkan pakaiannya dan berkata: "Untuk apa kita perlu saksi lagi? Kamu sudah mendengar hujat-Nya terhadap Allah. Bagaimana pendapat kamu?" Lalu dengan suara bulat mereka memutuskan, bahwa Dia harus dihukum mati." (Markus 14:61-64, TB LAI).
Jelas apabila Jesus mengaku bahawa Dia adalah Anak Allah (Anak dari Yang Terpuji), Dia dituduh sebagai telah melakukan syirik, iaitu menyamakan diri-Nya dengan Allah! Adakah pemimpin agama Yahudi ini tidak tahu maksud istilah tersebut? Sudah tentu mereka tahu. Dan sebab itulah mereka mengatakan Jesus telah menghujat Allah.

Yang menariknya, Jesus tidak menafikan tuduhan mereka. Dia tidak berkata, "oh, maksud saya, Anak Allah dalam erti kata 'rasul atau nabi'. Kamu salah faham." Sebaliknya, Dia membiarkan diri-Nya disalibkan atas tuduhan tersebut. Mengapa Jesus tidak menafikannya? Kerana Dia benar-benar adalah Firman yang menjadi manusia yang mempunyai kemuliaan sebagai Anak Tunggal Bapa. Jesus sendiri mengakuinya!

Maka, definisi mana yang harus kita percayai? Definisi daripada penulis buku "Jesus adalah Muslim?" ini atau pengertian para pemimpin agama Yahudi sendiri yang mana cukup arif tentang maksud istilah tersebut dan tidak dinafikan oleh Jesus sendiri?

Ulasan