Langkau ke kandungan utama

Menjawab buku "Jesus adalah Muslim?": #27: Injil Barnabas?

Senarai siri ini lengkap di sini.

Pada muka surat 39 hingga 46, penulis sekali lagi menggunakan Injil Barnabas sebagai "bukti" bahawa Judas yang disalibkan menggantikan Jesus. Injil Barnabas sudah saya perkatakan di dalam poin 9 sebelum ini. Ia bukanlah Injil asli dan sudah terbukti palsu. Bukan di dalam siri ini sahaja, Injil Barnabas juga telah diperkatakan beberapa kali di dalam blog ini. Malah, terdapat sarjana Muslim yang mengakui Injil Barnabas adalah injil palsu.[1]

Apa yang menariknya, penulis telah memberikan terjemahan Bahasa Melayu kepada Injil Barnabas. Setakat ini, tidak ada terjemahan Bahasa Melayu bagi Injil Barnabas. Mungkin ia terjemahan penulis sendiri?

Sudah banyak yang diperkatakan tentang kepalsuan Injil Barnabas ini, Tindakan penulis menggambarkannya sebagai injil "benar" menunjukkan penulis sama ada tidak tahu atau sengaja menggunakan tipu helah untuk menyokong dakwaannya. Penulis mencatatkan Injil Barnabas disusun pada abad kedua Masihi![2] Namun, tanpa disedari penulis, pada abad kedua Masihi, Barnabas sudah lama meninggal dunia! Menurut tradisi gereja, Barnabas mati pada tahun 61 Masihi, iaitu pada abad pertama Masihi.[3] Ini menunjukkan tarikh yang diberikan penulis sendiri juga tidak membuktikan ia ditulis oleh Barnabas. Bagaimana Barnabas dapat menyusun Injil Barnabas pada abad kedua Masihi jika dia sudah pun meninggal pada abad pertama masihi?

Hakikatnya, sesiapa yang cuba menggunakan Injil Barnabas sebagai "bukti" dan "benar", walaupun individu tersebut tahu Injil Barnabas adalah palsu, hanya menunjukkan individu tersebut terdesak dan tidak jujur. Adakah penulis buku ini tahu Injil Barnabas adalah palsu? Hanya penulis buku  ini sendiri yang tahu. 

Nota
[1] The Concise Encyclop√¶dia of Islam, Cyril Glass√©, Stacey International, 2008. m/s 88.
[2] Jesus adalah Muslim?, m/s 39.
[3] The Oxford Dictionary of the Christian Church, m/s 160.

Ulasan